ADAKAH INI BERMAKNA UMNO KHIANAT PERJANJIAN

 

Walaupun Saarani Mohamad daripada UMNO telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak dan Bersatu pun setuju memberi sokongan terhadapnya, kekeruhan hubungan antara dua parti nampaknya masih lagi belum selesai.

Ternampak juga permohonan maaf Zahid Hamidi atas tindakan UMNO menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu atau Peja gagal mengubati luka yang berbekas di hati Bersatu.

Kali ini Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu mengungkit pula tentang perjanjian antara Bersatu, UMNO dan Pas ketika pembentukan Perikatan Nasional atau PN pada Februari lalu.

Kata beliau, mengikut konsensus yang dicapai dalam pembahagian jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar ketika itu, Perak sepatutnya kekal menjadi milik Bersatu kerana ia dipegang oleh wakil parti itu sebelum pembentukan PN lagi.

Menurutnya, perjanjian itu telah dimeterai antara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Haji Hadi Awang.

“Ketika pembentukan Kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud kesinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ia juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat,” jelas Hamzah yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri.

Hamzah menyebut bagaimana Johor diserahkan semula kepada UMNO, menjadikan jumlah negeri yang diketuai parti itu menjadi empat – termasuk Melaka, Perlis dan Pahang.

Bagi Pas pula, persetujuan dicapai untuk mengetuai Kelantan, Terengganu, dan Kedah, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal menerajui Sarawak.

“Alhamdulillah, persefahaman politik itu telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan juga telah dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah,” ujarnya lagi.

Berdasarkan kenyataan Hamzah ini, adakah ia bermakna UMNO yang merampas Perak telah mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujuinya bersama Pas dan Bersatu?

Bolehkah Zahid Hamidi dan Hadi Awang mengesahkan wujudnya perjanjian sebagaimana diaebut Hamzah ini?


 (Shahbudindotcom 11/12/2020)




No comments: