PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan, Pahang

 

Ridauddin Daud
PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan, Pahang
Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan adalah selama empat minggu, bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan adalah selama empat minggu, bermula 9 November sehingga 6 Disember ini.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah melaksanakan penilain risiko dan mendapati terdapat peningkatan bilangan kes COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut.
“Pelaksanaan PKPNB ini bagi membolehkan KKM menjalankan saringan secara bersasar dan mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti.
“PKPB dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan. Negeri-negeri lain semuanya dikenakan PKPB,” katanya dalam sidang media harian pada Sabtu.
Tambah beliau, prosedur operasi standard untuk PKPB itu sama juga seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, pelaksanaan PKPB di negeri-negeri di Semenanjung juga akan meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November 2020.
“Bagi negeri Kelantan, Pahang dan Perlis, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri juga adalah tidak dibenarkan.
“Walaubagaimanapun, pergerakan rentas daerah di dalam ketiga-tiga negeri ini dibenarkan seperti biasa. Bagi negeri Sarawak, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada PDRM.
“Pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching,” ujar beliau lagi.


No comments: