Rata-rata rakyat tampak tidak gembira dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz petang tadi.
Bagi mereka, tiada perkara menarik yang boleh membuatkan rakyat tersenyum dengan pembentangan belanjawan kali ini.
Yang sinis berkata, kalau ada pun yang menarik hanyalah tentang kejayaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang berjaya membuatkan Speaker, Azhar Azizan Harun terpaksa membuat U-Turn dengan membenarkan kesemua 222 Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2021.
Jika semalam beliau mengeluarkan arahan hanya 80 Ahli Parlimen saja dibenarkan berada di Dewan Rakyat, hari ini berikutan desakan Anwar yang kemudian disokong empat Ahli Parlimen UMNO, Azhar terpaksa mengubah keputusannya dengan rasa yang cukup kecewa.
Kekecewaannya jelas terpancar apabila beliau kemudian menyatakan agar di lain kali permohonan seperti itu seharusnya diberi notis awal terlebih dahulu kepadanya.
Apakah ini petanda awal Belanjawan 2021 akan berdepan masalah ketika pengundian nanti?
Dua perkara yang paling membuatkan rakyat kecewa dan tidak puas hati ialah berkaitan pengeluaran wang daripada KWSP dan perlanjutan tempoh moratorium pinjaman bank.
UMNO, khususnya melalui Najib Razak, sejak dua tiga minggu lalu, giat mendesak kerajaan agar membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP.
Pengeluaran wang itu adalah untuk tujuan mereka menyelesaikan urusan kehidupan berikutan pandemik Covid19 yang membuatkan ramai hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.
Dengan RM10 ribu dapat dikeluarkan dan jika pasangan turut berbuat demikian, bermakna jumlah RM20 ribu yang ada dalam tangan mampu menyelesaikan banyak urusan kehidukan, antaranya tentang bil-bil yang tertunggak.
Jika kebenaran itu diberikan, ia dianggarkan mampu memberi manfaat dan keselesaan kepada kira-kira 4.7 juta pencarum.
Malangnya, desakan dan permintaan UMNO itu tidak dipedulikan oleh Tengku Zafrul.
Dalam pembentangannya, beliau mengumumkan hanya pencarum hilang pekerjaan dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah RM500 sebulan selama setahun.
Dalam erti kata lain, jumlah dibenar dikeluarkan adalah RM6000 sahaja, tetapi dengan RM500 sebulan, apa yang boleh diselesaikan?
Itu pun, oleh kerana ia terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan, manfaatnya hanya untuk 600 ribu pencarum semata-mata berbanding sasaran daripada cadangan asal ialah 4.7 juta pencarum.
Bagi moratorium pinjaman bank, kedua-pihak iaitu UMNO dan PH telah membuat desakan agar ia dilanjutkan selama tiga atau enam bulan lagi bagi tujuan meringankan beban hidup rakyat akibat Covid19.
Desakan ini juga tidak diterima, sebaliknya Tengku Zafrul sekadar mengumumkan moratorium bersasar untuk golongan B40 di mana mereka yang berkenaan perlu berurusan dengan pihak bank untuk memohonnya.
Selain itu, mereka juga diberi pilihan sama ada mengambil moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan jumlah bayaran bagi tempoh enam bulan dengan membuat perisytiharan bahawa pendapatan mereka telah berkurangan.
Yang nyata di sini, desakan UMNO dan PH langsung tidak diberi perhatian oleh PH, walaupun ia adalah untuk manfaat majoriti rakyat.
Dalam hal ini, ada yang berkata – inilah padahnya bila wakil bank dan bukan wakil rakyat jadi Menteri Kewangan.
Baik UMNO atau PH, terutama berkaitan dua aspek di atas iaitu pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, adalah bahaya bagi masa depan mereka jika menyokong kelulusan Belanjawan 2021 ketika pengundian nanti.
Menyokongnya bererti tidak peduli terhadap keperluan rakyat yang majoritinya benar-benar perlukan wang daripada KWSP dan moratorium dilanjutkan lagi.
Sebaliknya, dengan menolak belanjawan dan menunjukkan kebersamaan terhadap keperluan hidup rakyat, peluang memenangi PRU akan datang adalah lebih cerah, terutama jika PRU15 diadakan seawal tahun depan.
(Shahbudindotcom 06/11/2020)