Belanjawan tak bantu kakitangan syarikat penerbangan diberhenti kerja, kata Nufam

 

Inisiatif program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan tidak memberi sebarang erti jika industri penerbangan negara tidak diberikan perhatian.

PETALING JAYA: Kumpulan kebajikan kakitangan syarikat penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) tidak melihat Belanjawan 2021 akan memberi impak besar buat bekas kakitangan syarikat penerbangan diberhentikan kerja yang ketika ini bergelut untuk menampung kehidupan mereka.

Presiden Nufam Ismail Nasaruddin berkata, inisiatif program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan tidak memberi sebarang erti jika industri penerbangan negara tidak diberikan perhatian, memandangkan ia hanya akan mencipta lebih banyak penganggur pada masa depan.

“Saya nampak ada RM50 juta diperuntukkan untuk program latihan dan penempatan semula, bagi saya ini adalah bajet yang biasa oleh kerajaan. Kita sebenarnya hendak lihat bajet yang boleh melindungi industri penerbangan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Sepatutnya perlu ada lebih perlindungan kepada syarikat penerbangan dan pelancongan memandangkan mereka terlibat isu pembuangan pekerja. Jika berterusan, nampak gayanya tahun depan akan lebih banyak pembuangan,” katanya kepada FMT.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata, kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan RM50 juta.

Ismail berkata, Tengku Zafrul sendiri tidak menyatakan secara jelas apakah program latihan akan diberikan kepada bekas kakitangan syarikat penerbangan, memandangkan sebilangan besar kakitangan terbabit mempunyai kemahiran tertentu.

“Kita juga hampa apabila kerajaan hanya memperuntukkan pengeluaran RM500 akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Hakikatnya, bekas kakitangan syarikat penerbangan ini ada antara mereka memang sudah tidak ada sumber kewangan lain.

“Sepatutnya, peruntukkan juga untuk mereka yang sudah kehilangan kerja ini peruntukan memulakan perniagaan. Galakkan mereka ceburi bidang perniagaan. Kini, apakah mereka yang kehilangan kerja ini juga layak untuk memohon sebarang pinjaman disebutkan kerajaan? Saya rasa tidak,” katanya.

Awal Oktober lalu, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan syarikat penerbangan tambang rendah itu terpaksa memberhentikan 10% daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya. Awal Jun lalu, AirAsia sendiri sudah mengurangkan lebih 250 pekerjanya akibat penularan Covid-19.

Malindo Airways Sdn Bhd juga tidak terkecuali mengambil langkah memberhentikan pekerjanya, apabila dilapor akan memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih daripada separuh tenaga kerjanya yang berjumlah 3,200.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat mengakui, industri penerbangan negara dan pelancongan kini antara sektor terjejas teruk akibat Covid-19. Malah, dilaporkan antara Julai dan Ogos pasaran buruh mencatatkan kadar 4.7%.

Ketika ini, kerajaan persekutuan masih kekal dengan dasar untuk tidak membuka pintu sempadan kepada mana-mana pihak kecuali kategori tertentu, berikutan wabak Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ke-3 dalam negara.




No comments: