Anwar: Belanjawan tidak mampu pulihkan ekonomi, bela yang miskin

 

Anwar persoalkan kejujuran kerajaan memulihkan ekonomi

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar kerajaan kerana gagal membentangkan belanjawan yang mampu membela golongan miskin atau berupaya memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata usul menghulur bayaran sekali beri RM500 kepada golongan tertentu bukan ubat untuk penderitaan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Belanjawan 2021 juga ketandusan strategi untuk membela mereka yang kehilangan pekerjaan serta gagal menangani masalah pengangguran yang ketara, kata beliau yang juga bekas menteri kewangan.

“Bayaran sekali RM500 bukan jawapan… kami juga telah menuntut moratorium pembayaran balik pinjaman bank keseluruhan tetapi menteri kewangan lebih mengutamakan kepentingan bank dan bukannya peminjam mahu pun ekonomi negara, kata Anwar.

Anwar berkata beberapa unjuran dalam Belanjawan 2021 membimbangkan, termasuk pendapatan kerajaan menerusi cukai pendapatan dan cukai korporat dijangka berkurangan hanya sebanyak RM4 bilion berbanding 2019.

“Amat sukar menerima unjuran sebegini sebab begitu banyak perniagaan kini hampir bankrap atau menanggung kerugiaan. Hanya segelintir syarikat seperti Top Glove yang meraih keuntungan,” kata beliau.

Anwar juga menuntut penjelasan kenapa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia diperuntukan RM80 juta manakala golongan miskin dan orang kurang upaya diberikan jumlah jauh lebih kecil.

Beliau menegaskan keperluan Putrajay lebih telus dan memberikan butiran terperinci mengenai usul-usul belanjawan yang dibentangkan semalam.

Pembangkang, katanya, akan membangkitkan isu-isu berkenaan apabila Belanjawan 2021 dibahaskan mulai Isnin depan.


No comments: