MENJADIKAN ANWAR PM BERMAKNA MENGEMBALIKAN MANDAT RAKYAT YANG DIKHIANATI.

 Suatu perkara yang kita tidak harus lupa di sebalik usaha berterusan Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan ialah ia juga bertujuan untuk mengembalikan semula mandat rakyat.

Dalam PRU14 lalu, pihak yang menang dan diberi mandat untuk menjadi kerajaan menggantikan BN adalah PH.

Bersekali dengan itu, ditetapkan bahawa Perdana Menteri bagi tempoh dua tahun pemerintahan PH ialah Tun Mahathir Mohamad dan Anwar selepas itu.

Atas kesepakatan itulah akhirnya PH yang menggunakan logo PKR diundi majoriti rakyat, diberi kemenangan menumbangkan BN dan diberi mandat untuk mengurus kerajaan bagi tempoh lima tahun.

Terjadinya Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri langsung tiada dalam kerangka pilihan dan mandat rakyat bagi tempoh penggal Parlimen PRU14 iaitu 2018 hingga 2023.

Yang ada hanyalah Tun Mahathir dan Anwar.

Bermakna, dalam hal ini, apabila Muhyiddin terlibat dalam Langkah Sheraton yang seterusnya menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri, ia adalah perbuatan diluar mandat rakyat.

Lebih daripada itu, ia juga boleh dianggap suatu pengkhianatan, tidak saja kepada PH, tetapi juga terhadap mandat yang dipilih rakyat.

Lantaran itu, apabila Anwar memaklumkan beliau sudah cukup sokongan, lalu memohon untuk mengadap Yang Dipertuan Agong bagi proses membentuk kerajaan baru, ini bukanlah untuk kepentingan peribadinya sebagai individu.

Sebaliknya ia adalah demi mengembalikan mandat yang dipilih rakyat pada PRU 2018 lalu yang mana ia kemudian dkhianati oleh Muhyiddin dan rakan-rakannya.

Dengan siapa Anwar berpakat dan bekerjasama untuk membentuk kerajaan baru bukan persoalan yang perlu dipertikaikan kerana selagi Presiden PKR itu adalah calon Perdana Menterinya, ia dikira masih dalam lingkungan memenuhi semula mandat yang telah dirampas dan dikhianati itu.

Lagi pula, mereka yang berasal daripada PH sendiri yang keluar daripada gabungan itu bagi tujuan memenuhi nafsu serakah mereka sebelum ini.

Maka, dalam usaha Anwar mengembalikan semula mandat rakyat dan mengambil alih kerajaan, sudah tentu beliau memerlukan rakan baru untuk disepakati dan mencukupkan bilangan Ahli-Ahli Parlimen.

Bekas rakan lama yang pernah khianat sebelum ini sudah dikira tidak berguna lagi, lalu mustahil untuk diajak berunding semula.

Dalam kata mudah, pada 13 Oktober ini di mana Anwar diperkenan untuk mengadap Agong, ia sebenarnya adalah suatu usaha dan proses yang murni yang perlu disokong, khususnya pengundi yang telah memenangkan PH pada 2018 lalu.

Apa jadi selepas majlis mengadap Agong nanti – sama ada Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri atau Parlimen akan dibubarkan – usaha ke arah itu seharusnya disambut baik dan mesti diberikan sokongan kerana ia tidak lari daripada tujuan untuk mengembalikan mandat rakyat.

Siapa juga calon Perdana Menteri selepas Tun Mahathir, jika ia selain daripada Anwar, bermakna bukan bertujuan mengembalikan mandat rakyat.

Mengembali dan memulihkan mandat rakyat bermakna Anwar sedang cuba meletakkan suara dan pilihan rakyat dihormati semula, bukan membiarkan ia terus dikhianati oleh Muhyiddin dan rakan-rakan sepengkhianatan dengannya.(Shahbudindotcom 09/10/2020)

No comments: