Pertemuan Anwar dengan Agong: Apa berlaku selepas 13 Oktober ini?

 

Hasimi Muhamad
Pertemuan Anwar dengan Agong: Apa berlaku selepas 13 Oktober ini?
Pada Khamis, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat mendakwa, beliau mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa ini - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perubahan tampuk kepimpinan kerajaan berkemungkinan tidak akan berlaku sejurus pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, pada 13 Oktober ini.
Sebaliknya, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin menegaskan terdapat beberapa proses yang terlibat dan dipenuhi termasuk Anwar perlu meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau sememangnya memiliki majoriti kukuh, sepertimana yang didakwa.
James berkata Al-Sultan Abdullah turut mempunyai kuasa untuk memanggil Raja-Raja Melayu bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja sebelum membuat sebarang keputusan.
James berkata Al-Sultan Abdullah turut mempunyai kuasa untuk memanggil Raja-Raja Melayu bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja sebelum membuat sebarang keputusan.
Selain itu, mengikut konvensyen politik yang diamalkan di negara ini, James berkata, Al-Sultan Abdullah perlu memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pandangan Perdana Menteri itu.
“Jadi pada hari Selasa ini, Anwar pada dasarkan akan mengemukakan bukti kepada Agong bahawa beliau mempunyai sokongan kuat daripada Ahli Parlimen dan majoriti di Dewan Rakyat.
“(Bagaimanapun), pada pertemuan tersebut, Agong tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana menurut konvensyen politik, Seri Paduka Baginda perlu berunding dengan Perdana Menteri.
“Masalah sekarang ialah Perdana Menteri sedang menjalani kuarantin. Walaupun Perdana Menteri mendapat perkenan untuk menghadap Agong, beliau boleh menafikan angka (sokongan) yang diberikan oleh Anwar
“Oleh itu, di bawah konvensyen politik, Perdana Menteri mesti diberi peluang untuk menjawab, (dan) ia adalah amalan biasa di bawah konvensyen politik. Perdana Menteri akan diberi peluang apabila menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan bahawa beliau masih memiliki sokongan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI menerusi Skype, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Al-Sultan Abdullah turut mempunyai kuasa untuk memanggil Raja-Raja Melayu bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja sebelum membuat sebarang keputusan.
Justeru, James berpandangan keputusan tidak boleh dibuat secara segera pada pertemuan tersebut, sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa perubahan kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat.
“Segelintir pihak berpandangan bahawa dari segi undang-undang, baginda tidak perlu berbuat demikian (mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu). Walaupun secara sah, (betul) ia tidak perlu tetapi konvensyen politik dan undang-undang adalah berasingan.
“Ini adalah isu politik, dan saya tiada keraguan bahawa Agong sekarang tidak akan membuat keputusan tanpa berbincang dengan Sultan-Sultan yang lain.
“Jika kamu melihat semula krisis politik yang berlaku pada Februari lalu, Majlis Raja-Raja sebenarnya bersidang. Kita juga menyaksikan Sultan dari pelbagai negeri datang ke Istana Negara untuk membincangkan isu (pelantikan Perdana Menteri) sebelum keputusan dibuat untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” tambah beliau.
Bagaimanapun, beliau mengakui tindakan Presiden PKR itu mengumumkan rancangannya untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan tidak melanggar sebarang protokol atau etika garis panduan dalam sistem Perlembagaan negara.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan keyakinan bahawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak akan berlaku dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat mendakwa beliau mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa ini.
Bekas timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

No comments: