JIKA MUHYIDDIN TIDAK CUKUP KUAT JANTUNG, ELOKLAH BELIAU LETAK JAWATAN LEBIH AWAL

 

Tarikh 13 Oktober ini bukan saja mendebarkan bagi seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Malah, menunggu tibanya tarikh tersebut, Muhyiddin tentunya turut tidak lena tidur, sentiasa cemas dan degup jantungnya menjadi lebih pantas.

Dalam keadaannya yang pernah menjalani pembedahan kanser, keadaan ini tidak mustahil memungkinkan penyakit lama menyerang kembali.

Stress atau tertekan dalam menjalani kehidupan sering dinasihatkan oleh para doktor untuk dielakkan oleh mereka yang pernah menjalani pembedahan kanser kerana ia adalah antara tanah subur untuk berulangnya penyakit tersebut.

Pada 13 Oktober ini, Anwar telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengadap baginda bagi Ketua Pembangkang itu mempersembahkan jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi mengambil alih , seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru.

Sebelum ini, apabila majlis mengadap yang asal pada 22 September ditangguhkan, ia barangkali telah memberi kelegaan kepada Muhyiddin.

Apalagi selepas itu, Agong masih dirawat di IJN dan disusuli keperluan berehat di Istana Negara.

Tetapi, kini tarikh untuk Anwar mengadap semula telah diperkenankan oleh Istana Negara iaitu pada 13 Oktober.

Maka, tempoh beberapa hari sebelum tibanya tarikh 13 Oktober depan adalah suatu penantian yang mendebar dan mencemaskan buat Muhyiddin.

Dengan Anwar penuh yakin mahu mengadap Agong bagi mengambil alih kerajaan, ia adalah suatu hakikat yang nyata bahawa Ketua Pembangkang itu memang sudah mempunyai angka yang mencukupi untuk dipersembahkan.

Tanpa angka dan bukti mencukupi, mustahil Anwar sedia mengadap Agong untuk tujuan tersebut kerana ini bukan perkara main-main.

Bagi Muhyiddin, dengan majoriti dimilikinya di Parlimen hanya satu atau dua undi, jantungnya pasti berdegup kencang memikirkan siapakah di kalangan Ahli-Ahli Parlimen PN yang tidak lagi mahu menyokongnya.

Lebih membuatkannya tambah berdebar ialah bila mana Anwar menegaskan, sokongannya yang dimilikinya sekarang juga adalah kukuh dan meyakinkan, bukan dengan majoriti kecil.

Dalam hati Muhyiddin akan terus mencari jawapan – siapakah mereka yang dalam kalangan kukuh dan meyakinkan menyokong Anwar itu?

Kali ini bukan lagi soal seorang dua Ahli Parlimen yang telah beralih arah, tetapi mungkin angkanya antara 10, 15, 20 atau lebih daripada itu.

Apakah mereka itu daripada UMNO?

Apakah mereka daripada Bersatu sendiri?

Apakah sebahagiannya daripada Geng Azmin Ali yang melompat daripada PKR untuk menyertai Bersatu, tetapi mula jauh hati kepada Muhyiddin?

Munkinkah antaranya daripada Pas?

Termasukkah juga daripada Sabah dan Sawarak?

Sebagaimana disebut awal tadi, apatah lagi berulang-ulang memikir dan mencari jawapan akan hal ini, jantung Muhyiddin pasti berdegup lebih laju daripada biasa dibuatnya.

Kalau tidak mampu dan jantungnya pula mungkin tak cukup kuat, eloklah Muhyiddin lebih awal meletakkan jawatannya daripada terus memikir dan teraba-raba mencari jawapan.

Buat apa terus menyiksa diri, tambahan lagi beliau juga dalam tempoh kuarantin buat kali kedua sehingga 17 Oktober sekarang ini – tak boleh keluar rumah berjumpa sesiapa dan orang lain juga tidak boleh datang untuk berjumpa dengannya.(Shahbudindotcom 09/10/2020)