Saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim
menangguhkan hasrat mempersembahkan sokongan majoriti Ahli Parlimen kepada Yang
di-Pertuan Agong dengan alasan perlunya gencatan senjata politik ketika
pandemik Covid 19 dibidas Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.
Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed
Osman berkata, alasan Covid 19 tidak relevan memandangkan ketika kerajaan
Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh Perikatan Nasional (PN) pandemik Covid
telah pun bermula, namun Asyraf tidak pula menegur Umno untuk tidak ikut serta
dalam Langkah Sheraton.
"Ketika PN mengambilalih
kerajaan pada bulan Mac tahun ini wabak Covid 19 sudah diisytihar sebagai
pandemik dan bilangan kes di Malaysia telah pun mencecah dua digit.
"Seharusnya Asyraf tampil
menghalang usaha Tan Sri Muhyidin untuk menjatuhkan Kerajaan PH ketika itu
kerana PH sedang berusaha mengawal penularan wabak.
"Tetapi Asyraf bukan sahaja
gagal mengekang, malah kelu melihat pengkhianatan beberapa Ahli Parlimen yang
melompat parti seterusnya menubuhkan kerajaan pintu belakang," katanya
dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian, menurut Syed
Badli, sangat janggal apabila usaha Anwar untuk membentuk semula kerajaan
mandat rakyat mahu dihalang.
Kata Syed Badli lagi, jika PN boleh
mengambialih kerajaan tanpa perlu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) maka situasi
sama juga boleh dilakukan dan tidak melibatkan rakyat atau himpunan umum yang
boleh merebakkan Covid 19.
"Kini tugas Presiden KEADILAN,
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengambil semula mandat yang dirampas tanpa
melalui jalan PRU.
"Tentunya jika Agong memperkenan
beliau sebagai Perdana Menteri (PM), pertukaran kerajaan akan berlaku tanpa
melibatkan rakyat.
"Justeru itu saya menyeru Asyraf
Wajdi untuk tidak bersikap hipokrit seterusnya menyokong usaha untuk
mengembalikan mandat tanpa perlu pembubaran Parlimen," katanya lagi.
Untuk rekod, Pengerusi PH Datuk Seri
Anwar Ibrahim diperkenankan mengadap Agong pada 13 Oktober depan.
Sekiranya Agong berpuas hati dengan majoriti yang diperolehi
Anwar maka peralihan kuasa boleh dilakukan secara mudah sebagaimana Muhyiddin
mengangkat sumpah jawatan sebagai PM pada Mac lalu.