Kerajaan digesa supaya membuat
pengumuman yang jelas dan tepat supaya rakyat tidak sentiasa berada dalam
keadaan keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sering berubah-ubah
dari semasa ke semasa, kata ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.
Beliau berkata perubahan SOP
dengan terlalu kerap akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya dan memaksa mereka
meminta bantuan dari wakil rakyat masing-masing untuk mendapatkan penjelasan.
"Setiap petang menteri
kanan akan buat pengumuman yang berbeza, Setiap pagi pejabat saya perlu
menghubungi agensi yang terlibat untuk mendapat penjelasan supaya dapat
menjawab kekeliruan rakyat.
"Baru-baru ini sekali lagi
kita menyaksikan pengumuman yang menyebabkan perubahan besar dalam sektor
pekerjaan di negeri Selangor, pejabat saya mengulangi apa yang dilakukan setiap
pagi untuk mendapat infomasi yang tepat.
"Malangnya kebanyakan
agensi kerajaan gagal menjawab soalan-soalan yang dikemukakan atas sebab tiada
arahan dan infomasi yang lanjut daripada pihak atasan," katanya.
Justeru, Wei Kiat menggesa
kerajaan supaya sentiasa berwaspada terhadap pengumuman yang akan mengundang
kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan mengambil kira keadaan yang dihadapi
rakyat ketika ini.
"Menteri patut rasa
simpati terhadap frontliner yang bertugas di hadapan untuk membantu, disebabkan
pengumuman setiap hari yang berbeza, frontliner dan rakyat kena tanggung
keseksaannya.
"Harap menteri dapat
memahami keadaan sebenar dan buat pengumuman yang jelas dan tepat, kekeliruan
hanya akan menambah masalah terhadap rakyat," katanya.