BERSAMA DENGAN BERSATU TIDAK MENGUNTUNGKAN UMNO

 

Selain gencatan politik yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi semalam tidak bererti yang kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah selamat daripada sebarang gegaran selepas ini, ia juga tidak bermaksud hubungan UMNO dan Bersatu sudah pulih sepenuhnya.

Dari segi UMNO, mereka masih melihat Bersatu adalah pembuli yang pada bila-bila masa akan bertukar menjadi buaya lapar mahu menelan parti itu.

Melalui penguasaan kedudukan dalam kerajaan, Muhyiddin kini diperhatikan sedang berusaha sedaya upaya untuk melemahkan UMNO dan menjadikan Bersatu lebih dominan.

Dengan berebut kawasan yang sama untuk ditandingi, sebagai parti kecil tetapi memiliki banyak kuasa, hanya dengan melemahkan UMNO merupakan satu-satunya cara untuk Bersatu menguasai persaingan.

Sebagaimana Bersatu pada awalnya ditubuh untuk menggantikan UMNO, perkara itu tidak pernah digugurkan sehingga ke hari ini, baik oleh Muhyiddin atau mana-mana pemimpinnya yang lain.

Malah, melalui perbualan dengan beberapa pemimpin Bersatu, mereka tidak ragu-ragu mengatakan UMNO adalah parti yang kotor, pemimpinnya rasuah dan tidak mampu dipulihkan lagi.

Sebaliknya, kata mereka, jika Bersatu menjadi pengganti kepada UMNO, ia lebih mudah diterima rakyat tanpa ada beban dengan nostalgia lama yang jijik dan menyusahkan.

Untuk itu, rata-rata dalam UMNO, walaupun gencatan politik telah diumumkan, mereka masih keberatan menerima ketetapan itu sebagai hakikat yang wajib dipatuhi.

Kebimbangan mereka terhadap survival dan masa depan UMNO untuk menghadapi PRU akan datang mengatasi segala-galanya.

Sebagai parti Melayu paling besar dan punya sejarah perjuangan yang panjang, UMNO merasakan mereka bukan saja harus bertanding lebih banyak kerusi, malah mesti mengambil balik kerusi Perdana Menteri.

Dalam keadaan sekarang, oleh kerana kerusi Perdana Menteri itu diduduki oleh Bersatu, parti itu juga mahu mengekalkannya terus dalam genggaman.

Tetapi, tanpa sokongan UMNO dan tanpa toleransinya berbahagi kerusi, Bersatu bukan saja tidak mungkin mampu pergi lebih jauh dalam perjalanan masa depan, malah juga sukar untuk mempertahankan kerusi Perdana Menteri.

Sebaliknya, jika terus bersama, bukan saja UMNO terpaksa berkongsi banyak kerusi dengan Bersatu, malah perjuangan untuk mengambil balik kerusi Perdana Menteri juga terpaksa dikorbankan.

Sebagaimana kemenangan 13 kerusi Bersatu dalam PRU14 lalu banyak disumbangkan oleh kerjasama parti-parti lain dalam PH, untuk PRU akan datang, mereka kini beralih mengharapkan ihsan daripada UMNO pula.

Lebih membimbangkan UMNO lagi, selagi mereka kekal dalam PN bersama Bersatu, pembulian tidak mustahil akan terus dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.

Oleh kerana UMNO sehingga ini agak keras enggan berkongsi dan bertoleransi dari segi pembahagian kerusi dengan Bersatu, begitu juga dengan jawatan Perdana Menteri, mereka juga sedar Muhyiddin akan menggunakan pendekatan lain, khususnya melalui tekanan dan penguatkuasaan undang-undang demi memastikan dominasinya dikekalkan.

Walaupun undang-undang tetap undang-undang dan ia adalah sama di sisi semua rakyat, tetapi bukanlah tidak difahami bahawa manipulasi terhadapnya bila-bila masa boleh dilakukan oleh sesiapa yang ada kuasa dalam genggamannya.

Secara mudahnya, UMNO dan Bersatu memang tidak boleh bersama, mereka akan sentiasa berebut dan berkelahi sesama sendiri, bahkan yang lebih buruk, oleh kerana Bersatu yang kecil memiliki banyak kuasa sementara UMNO yang besar terhad kuasanya, pembulian pasti terus berlaku.

Terus kekal dalam PN sepertimana keadaan sekarang tidak akan menguntungkan UMNO, sebaliknya Bersatu yang akan mengaut banyak laba.

Bahkan dalam konteks kedudukan Zahid Hamidi yang mengetuai UMNO sekarang, keberaniannya membawa parti itu meninggalkan PN dan berpisah dengan Bersatu bukan saja bakal menguntungkan masa depan UMNO secara keseluruhannya, tidak terkecuali turut sama mencerahkan perjuangannya untuk survival dirinya sendiri.

Dalam hal ini, mustahil Zahid Hamidi tidak menyedari semua keadaan yang ada, oleh itu gencatan sementara sebagaimana diumumkannya dua hari lalu, kebetulan Covid19 tengah melanda semula, diyakini hanya taktik meredakan suasana untuk di masa yang sesuai nanti muncul semula melakukan gempuran yang sempurna.(Shahbudindotcom 23/10/2020)