Parlimen ditangguh, ‘darurat separa’ di zon merah?
PETALING JAYA: Pegawai kanan di Putrajaya dikatakan mahu Putrajaya melaksanakan “darurat separa” di zon merah, termasuk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sumber yang dekat dengan rundingan itu berkata, mereka mahu aktiviti Parlimen, termasuk sidang Dewan Rakyat selama 27 hari mulai 2 Nov hingga 15 Dis ini digantung kerana bimbang “kluster Parlimen” berlaku.
“Ada 2 sebab pegawai kanan di Putrajaya mahu ‘darurat separa’, satu ialah mengurangkan sebarang penularan Covid-19 dan satu lagi bagi mengurangkan ketidakstabilan politik semasa,” katanya kepada FMT.
Tidak diketahui jika kerajaan menerima kebimbangan pegawai kanan itu. Setakat ini, Putrajaya belum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Difahamkan, Belanjawan 2021, yang sepatutnya dibentangkan 6 Nov ini, mungkin ditangguhkan jika sidang Parlimen digantung.
Sumber berkata, “darurat separa” mungkin tidak membabitkan tentera dan mungkin sama dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dari Mac hingga Mei lalu.
Katanya, pegawai kanan mencadangkan tentera membantu polis mengadakan sekatan jalan, seperti ketika PKP.
“Aktiviti harian akan dibenarkan, tetapi dengan lebih banyak sekatan,” katanya sambil menambah kedai runcit dan perniagaan masih boleh terus beroperasi.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang mungkin membincangkannya dengan anggota Kabinetnya.
Terdahulu, Muhyiddin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet untuk membincangkan Belanjawan 2021. Tidak diketahui jika cadangan “darurat separa” dibincangkan.
Mesyuarat khas itu diadakan di Putrajaya bermula 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari tadi. Selain menteri, difahamkan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut hadir.
Menteri yang menghadiri mesyuara itu dipercayai termasuk Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Hamzah Zainudin (Dalam Negeri), Radzi Md Jidin (Pendidikan), Wee Ka Siong (Pengangkutan), Rina Harun (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ronald Kiandee (Pertanian dan Industri Makanan) serta Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan).
Daerah yang diisytiharkan zon merah Covid-19 ketika ini ialah Kota Setar (Kedah), Larut-Matang-Selama (Perak) serta Timur Laut, Seberang Perai Selatan (Pulau Pinang), Titiwangsa (Kuala Lumpur) dan Seremban (Negeri Sembilan).
Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Sepang dan Kuala Langat di Selangor, serta Beaufort, Kinabatangan, Kota Belud, Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu, Papar, Putatan, Sandakan, Semporna, Tawau, Ranau, Tuaran, Keningau, Kudat dan Penampang di Sabah juga dalam senarai zon merah Covid-19.
Kira-kira 700 hingga 800 kes Covid-19 dilaporkan setiap hari.