Umno - Bersatu bergaduh, mengapa Anwar dikatakan 'Game Over'?




Kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi kelmarin yang mengarahkan pimpinan Umno melakukan gencatan senjata politik dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional ketika usaha memerangi wabak Covid 19 ditingkatkan tiada kena mengena dengan langkah Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambilalih kuasa.

 

Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, mesej Zahid harus dilihat dalam konteks pergaduhan di antara Bersatu dan Umno. Zahid cuba menenangkan pergolakan dalaman partinya dan itu sama sekali tidak menjejaskan Pakatan Harapan (PH) serta segala strategi mereka.

 

"Gencatan politik kerana covid hanyalah taktik alih perhatian. Sedangkan secara realitinya keduanya sedang berpolitik untuk tawar menawar posisi dan agih mengagih kuasa sesama mereka. Sebab itu saya rasa nak ketawa apabila seluruh Malaya percaya satu gencatan politik kononnya sedang berlaku. Saya juga tersenyum melihat sesetengah orang di media sosial menyatakan rasa lega sebab kini negara boleh tumpu kepada urusan Covid dan bukan politik. Itulah hebatnya orang politik meyakinkan orang ramai

 

"Tiba-tiba dalam hal ini, ada yang kata 'game over' untuk Datuk Seri Anwar. Bila masa Anwar ada dalam sifir perbalahan dua parti ni? Anwar ada PH yang berada dalam keadaan solid dan padu. Perbalahan Zahid dan Muhyiddin adalah masalah dalaman Perikatan Nasional melawan Umno dalam usaha mereka mempertahankan 'muka' masing-masing dalam perebutan kuasa politik.

 

"Kalau ada yang kaitkan keputusan gencatan politik Zahid bermakna Anwar tak akan dapat sokongan Ahli Parlimen Umno memang dakwaan itu ada logiknya. Tetapi logik itu boleh difahami jika sokongan kepada Anwar yang ditawarkan secara en-block! Tapi jangan kita lupa dan abaikan kenyataan Presiden Umno sebelum ini mengatakan beliau tidak dapat menghalang mana-mana pemimpin yang hendak menyokong Anwar. Apakah boleh kita kata game over untuk Anwar atau sebenarnya game over untuk Muhyiddin?" tanyanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi Mujahid, tiada istilah gencatan senjata dalam strategi politik PH memandangkan gabungan itu berjuang untuk mewujudkan kerajaan yang lebih baik dan mengambil semula mandat rakyat.

 

Menurut beliau lagi, Malaysia akan semakin lemah jika ditadbir oleh kerajaan yang tipis majoritinya, sukar untuk meluluskan undang-undang baharu serta tidak diyakini oleh pelabur asing.

 

"Saya akan ulangi sekali lagi apa yang telah saya nyatakan sebelum ini, 'tiada gencatan politik kepada teras demokrasi yang dipandu Perlembagaan dan undang-undang di mana politik terbina di atas tapaknya'.

 

"Majoriti yang kukuh, kerajaan yang kuat serta kepercayaan rakyat yang padu adalah seruan untuk pengendalian krisis Covid yang lebih berkesan. Langkah Anwar konsisten pada teras perundangan dan landasan demokrasi yang menjadi tegak berdirinya proses politik bagi memelihara negara secara berterusan.

 

"Gencatan politik antara Umno dan Bersatu tak perlu mengheret rakyat dan negara kerana itu masalah nak jaga kawasan masing-masing. Negara lebih besar dari perbalahan 2 'Abang Long Kawasan' dan sebab itu kita wajib memelihara demokrasi dan prosesnya supaya negara mendapat yang terbaik untuk menguruskan krisis Covid," katanya lagi.

 

Pada 21 Oktober lalu, Zahid mengeluarkan kenyataan untuk memperkasakan kerajaan PN yang bertentangan daripada tindakannya sebelum ini mengeluarkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri ke 9 menggantikan Muhyiddin Yassin.