FAKTOR KU LI

 


Image may contain: ‎1 person, ‎text that says "‎لرنيم FAKTOR KU LI "Saya yakin beliau sebagai MP paling senior yang lahir di kalangan keluarga Istana, senantiasa dibimbing oleh tanggungjawab dan amanah beliau sebagai pelindung perlembagaan dan pemelihara undang-undang" DATUK SFRI MLLIAHID VUSOF RAWA Naib Presiden AMANAH Ahli Parlimen Parit Buntar DrMujahid Rawa @mujahidrawa f Dr Mujahid Yusof Rawa‎"‎‎


1. Sementara Istana menitahkan tiada pertemuan sehingga tamat PKPB 27hb Okt, bahang politik di luar tidak memperlihatkan suhu menurun. Sosok Ku Li mendapat perhatian media lebih kurang sama seperti DSAI pada 13 Okt lalu dengan semua orang tertanya-tanya , 'kenapa Ku Li setelah DSAI?'

2. Spekulasi bahawa kemungkinan Ku Li mewakili sokongan MP UMNO yang menyokong DSAI menguasai medan perbualan rakyat pada 13 Okt tetapi Ku Li dengan pantas menepisnya dengan menyatakan kehadiran beliau selepas DSAI mengadap YDPA ialah sebagai sesi biasa.

3. Esoknya 14hb Okt, terdedahlah surat Ku Li bertarikh 25hb Sept yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menuntut supaya usul Undi Tidak Percaya sebelum ini kepada kerajaan TSMY selaku PM perlu didahulukan dan dibahaskan. Surat panjang lebar itu juga menetapkan isu keperlembagaan seharusnya menjadi panduan kepada Speaker yang tugasnya adalah memelihara keluhuran undang-undang dalam Aturcara dan Peraturan Parlimen yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan.

4. Berserta surat tersebut ialah satu kejutan besar yang dilontarkan umpama bom jangka kepada kerajaan PN tentang kekhuatiran MP Gua Musang itu terhadap kebebasan parlimen yang menurutnya telah dikompromi melalui sogokan jawatan berpendapatan di kalangan MP. Keadaan ini tegas beliau boleh menjejas tujuan pengundian yang cenderong kepada menyokong kerajaan kerana penyogokan tadi. Speaker juga seolah diberi 'warning' bahawa penulis surat akan meneliti samada Speaker Dewan sendiri telah cuai dalam menjalankan tugasnya memelihara peruntukan perlembagaan dalam Perkara 62 dan 43 Perlembagaan Persekutuan ketika menolak usul tidak percaya ini yang pernah dibawa 2 kali.

5. Saya berpendapat, jikalaulah Ku Li layak mendapat perhatian, maka ia adalah kerana surat ini dan isinya yang sangat menyengat! Surat ini memungkinkan kita menoleh kepada medan baru polemik pasca 13 Oktober dengan timbulnya berbagai persoalan menarik yang mendesak. Apa kaitannya dengan dakwaan majoriti DSAI? Apakah tarikh 25 Sept surat Ku Li dan pengumuman pertama DSAI pada 23hb Sept disusun secara sedar? Kenapa isu sogokan atas alasan menjejaskan kewibawaan parlimen dan kebebasannya dibangkitkan? Kenapa keras amaran Ku Li kepada Speaker kerana gagal mengutamakan Usul Tidak Percaya ini? Apakah ia 'Langkah Ku Li' vs 'Langkah DSAI?' ataukah gabungan dan sinergi Ku Li & DSAI untuk jatuhkan kerajaan 'penyogokan' TSMY?

6. Saya memilih untuk melihat persoalan di atas secara zahir dalam memahami faktor Ku Li dalam sifir ini. Ini adalah kerana saya yakin beliau sebagai MP paling senior yang lahir di kalangan keluarga Istana, senantiasa dibimbing oleh tanggungjawab dan amanah beliau sebagai pelindung perlembagaan dan pemelihara undang-undang. Ku Li bertindak demikian supaya;

a. Untuk melunaskan tanggung jawabnya terhadap kenyataan awal DSAI yang mendakwa ada majoriti. Dakwaan ini sangat serius kepada sistem berparlimen kerana DSAI mengisyaratkan TSMY sudah tidak lagi menjadi PM (berpandukan kepada Perkara 43, yang dibangkitkan oleh Ku Li). Ini dikuatkan lagi bahawa usul Tidak Percaya pernah dibawa sebelum ini oleh Langkawi yang menerima layanan hambar Speaker.

b. Mengingatkan TSMY bahawa beliau perlu membuktikan sebaliknya jika beliau mahu meneruskan memimpin pentadbiran negara kerana dakwaan DSAI menjadikan TSMY sudah tidak ada kuasa lagi untuk mentadbir negara dan justeru itu hanya Usul Undi Tidak Percaya yang akan dapat mengesahkan kebenaran dakwaan DSAI atau sebaliknya.

c. Menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan PN sudah hilang tapak moralnya dan telah menodai kebebasan institusi parlimen dengan 'penyogokan' jawatan berpendapatan di kalangan MP sekaligus menjejaskan tujuan undian yang bebas di parlimen (48 (1l (c)) Amaran keras kepada Speaker pula bertujuan supaya Speaker meletakkan kesedaran dhamirnya bahawa setiap urusan kerajaan melalui kelulusan parlimen menjadi tidak relevan selagi keabsahan ketua eksekutif negara iaitu PM tidak ditentukan kedudukannya sedari awal.

7. Sementara itu, hubungan tegang UMNO dan Bersatu menekan kerajaan PN ke arah kejatuhannya. Orang bertanya kepada saya bolehkah PN jatuh? Saya menjawab bukan soalan samada PN boleh jatuh atau tidak, tetapi ia lebih kepada soalan bila PN akan jatuh?

8. Ketika Istana menutup pintunya selama 2 minggu, mata rakyat kini tertumpu kepada arena baru iaitu gelanggang Parlimen. Jangan lupa bahawa YDPA melantik PM di atas kuasanya yang pada pandangan Baginda meyakini calon tersebut ada majoriti, tetapi soal samada benar atau tidak seorang PM ada majoriti atau tidak hanya akan diuji kesahihannya di kalangan 222 MP di parlimen. Inilah satu hakikat yang TSMY gagal lunaskan sejak 1 March yang lalu apabila beliau angkat sumpah sebagai PM ke 8. Dengan kata lain samada dalam Istana atau Parlimen kedua-dua gelanggang ini boleh menentukan keabsahan seseorang PM dan kerajaannya apabila dipertikaikan.

9. Kerajaan PN sudah pun runtuh secara moralnya dengan sidang media DSAI 23hb Sept dan dengan 'surat berbisa' Ku Li pada 25hb Sept. Pasca 13 Okt adalah proses keabsahan yang pada hemat saya dengan faktor Ku Li muncul, dijangkakan institusi parlimen dijadikan sebagai medium kata pemutus krisis kepimpinan negara hari ini. Jika andaian ini benar, proses verifikasi dakwaan DSAI itu akan berlaku mengikut proses di parlimen dan bukan di istana bermula pada 2hb November ini. Jikalau proses Usul Tidak Percaya berjaya dibawa sebelum Bajet 6hb November, ini bermakna Bajet 2021 akan dibentang oleh kerajaan baharu.

10. Masa 2 minggu ini akan menyaksikan tekanan demi tekanan ke atas TSMY dan kerajaannya supaya berundurlah secara terhormat. Pada18hb Okt pula iaitu hari Sabtu, katanya keputusan penting mesyuarat MT UMNO akan dibuat untuk memutuskan nasib hubungan UMNO dan PN. Sebaik saja pengumuman pada petang 18 Oktober, satu lanskap baru dijangka akan terbentuk, ia akan menentukan halatuju kepimpinan negara. Jika penarikan diri 39 MP UMNO dari menyokong TSMY benar-benar berlaku , maka secara fizikalnya kerajaan PN akan runtuh pada Sabtu petang ini.

Walaupun demikian, saya ingin ingatkan pendokong PH khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya kita jangan cepat membuat rumusan secara final lagi, kerana episod PN jatuh hanyalah permulaan kepada keabsahan langkah DSAI, soalnya apakah kejatuhan ini akan berpihak kepada natijah akhir yang mendambakan kerajaan yang kuat dan kukuh majoritinya untuk berhadapan dengan krisis covid? Atau, akan sampaikah kita ke destinasi akhir iaitu terbentuknya kerajaan rakyat yang berintegriti dan berpegang teguh pada prinsip perundangan? Natijah dihujung semua senario ini penting kerana segala proses pasca 13 Oktober akan jadi berbaloi jika tercapai objektif ke arah kerajaan yang kuat dan stabil sejak kita memulakan jalan kembali menamatkan kerajaan tebuk atap.

Seminggu dua ini diharapkan bunga-bunga jawapan akan berputik sementara kita akan menyaksikan pada waktu yang sama kejatuhan PN sebagai kerajaan paling singkat yang pernah memerintah dalam sejarah negara!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

16 Okt 2020

 

No comments: