TERBUKTI YANG DICARI DARIPADA ANWAR HANYALAH SENARAI NAMA

 

Sebagaimana yang dijangka, tujuan utama Anwar Ibrahim disiasat adalah semata-mata untuk mendapatkan senarai Ahli-Ahli Parlimen PN yang tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin.

Apabila Anwar dalam sidang media selepas mengadap Agong pada Selasa lalu memaklumkan telah menyerahkan dokumen sahih mengenai sokongan 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan baru, ia dengan sendirinya bermakna tentulah ada Ahli Parlimen PN yang sudah mengalihkan sokongan mereka.

Dari segi moralnya, Muhyiddin juga sebenarnya sudah pun hilang sokongan dan jika ada maruah diri, beliau sepatutnya tidak berlengah lagi untuk meletakkan jawatan.

Sebab itu, dalam cubaan untuk terus mempertahankan diri, Anwar telah disiasat dengan tujuan utamanya adalah untuk memperolehi senarai Ahli Parlimen yang sudah beralih arah itu.

Jika senarai itu diperolehi daripada Anwar, senanglah selepas itu pujuk rayu, tekanan atau mungkin tawaran habuan lumayan dilimpahkan kepada mereka yang berkenaan.

Kalau diperhati daripada awal, menyiasat Anwar semata-mata kerana cuba menubuhkan kerajaan baru adalah tidak masuk akal sama sekali kerana ini adalah urusan politik dan semua yang beliau lakukan pula masih dalam ruang lingkung yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Senarai 121 Ahli Parlimen yang tersebar di media sosial bukanlah daripada Anwar dan sesiapa pun boleh mencipta senarai tersebut.

Maka itu, pihak yang membuat laporan polis mengenainya macam tidak boleh berfikir dan tidak pernah masuk sekolah saja gaya hidupnya.

Jika senarai palsu itu ingin disiasat, bukan Anwar orangnya yang patut diminta datang ke Bukit Aman, tetapi adalah siapa yang menyebarkannya, termasuk portal dan blog tertentu yang menyiarkannya.

Kalau ketenteraman rakyat terganggu, ia juga bukan disebabkan oleh Anwar, tetapi oleh mereka yang mencipta dan menyebar senarai palsu itu.

Malangnya, mereka yang berkenaan itu tidak pernah disiasat sama sekali.

Dalam siasatan yang dijalankan terhadap Anwar, beliau telah menekankan tiada senarai atau nama Ahli Parlimen yang dipersembahkan kepada Agong, sebaliknya yang ada hanyalah surat dan dokumen yang membuktikan wujud sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan baru.

Selebihnya, senarai itu ada dalam tangan ketua-ketua parti yang telah menyatakan sokongan kepadanya.

Hanya apabila ketua-ketua parti dipanggil mengadap Agong, barulah ia akan dipersembahkan kepada baginda.

Urusan ini tidaklah sukar difahami oleh mereka yang waras dan berakal, malah ia membuktikan Anwar sangat berhati-hati dalam strategi serta perancangan yang diaturnya.

Lebih daripada itu, tentulah turut tidak masuk akal untuk Anwar mendedahkan secara terperinci butir perbualannya dengan Agong kepada pihak polis, walaupun itu antara yang turut diminta dalam siasatan petang semalam.

Dalam hal ini, sangat mudah untuk memahami bahawa bukanlah pihak polis yang ingin mengetahui sangat senarai Ahli Parlimen yang tidak lagi menyokong Muhyiddin atau butir perbincangan Anwar dalam majlis mengadapnya dengan Agong itu.

Pihak polis tiada kepentingan dalam hal ehwal politik, mereka hanya bertanggungjawab dalam urusan keselamatan negara saja.

Pihak lain yang berselindung mempergunakan intrumen kerajaan inilah pendurjana sebenar yang membebankan pihak polis untuk kepentingan mereka.

Begitu pun, dengan tiada apa-apa maklumat berkaitan senarai berjaya diperolehi dalam siasatan terhadap Anwar semalam, pastilah mereka yang berkenaan sedang pening kepala dan mungkin sedang memikir mencari ikhtiar lain pula.

Tambahan lagi, majlis mengadap ketua-ketua parti terhadap Agong ditangguhkan sehingga tempoh PKPB berakhir pada 27 Oktober depan.

Lalu, tambah peninglah mereka mencari-cari siapa dalam kelambu PN yang tidak lagi menyokong Muhyiddin yang dengan tindakan tersebut, yang paling ditakuti sebenarnya ialah ia juga akan menyebabkan mereka bakal kehilangan jawatan dalam kerajaan.

(Shahbudindotcom 17/10/2020)


No comments: