Tiga sebab utama Warisan Plus menjadi pilihan rakyat Sabah

 


Tujuh calon KEADILAN menawarkan tiga sebab utama Warisan Plus menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Mereka berpandangan bahawa kesepakatan Warisan Plus dalam isu calon ketua menteri Sabah serta pembahagian kerusi meyakinkan rakyat untuk memilih sebuah gabungan politik yang stabil dan kukuh.

 "Pertama, kesepakatan dalam memilih Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon tunggal Ketua Menteri memberi pilihan yang jelas untuk rakyat Sabah. Gagasan Rakyat Sabah masih celaru calon Ketua Menteri mereka, adakah Hajiji Mohd Noor atau Bung Mokhtar?

 "Kedua, Warisan Plus menghormati autonomi kuasa rakyat Sabah. Pemilihan Shafie dibuat oleh rakyat dan pemimpin Sabah manakala pengumuman Hajiji sebagai calon Ketua Menteri dipilih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 "Adakah rakyat Sabah dirunding sebelum pengumuman dibuat? Siapakah yang menentukan calon Ketua Menteri PN-BN-PBS, Putrajaya atau rakyat Sabah?

 "Ketiga, Warisan Plus telah menunjuk perpaduan yang kukuh. Warisan Plus bertanding di kesemua 73 kerusi tanpa pertembungan sesama sendiri. Kecelaruan Gagasan Rakyat Sabah terbukti dengan pertembungan sekutu di 17 kerusi," katanya dalam kenyataan.

 Pada masa sama, calon-calon KEADILAN berpendapat kesepakatan politik yang ditunjukkan Warisan Plus akan memudahkan rakyat untuk membuat pilihan pada hari mengundi 26 September ini.

 "Rakyat Sabah mengharapkan kestabilan politik dan kerajaan yang mandat kukuh supaya kerajaan negeri boleh fokus kepada pembangunan ekonomi dan pekerjaan, memerangi COVID-19 dan memajukan sektor perlancongan, pertanian dan ekonomi luar bandar.

 "Ini akan memastikan Sabah berada di landasan yang betul dan memacukan pembangunan negeri semula. We want to make Sabah Great Again!" katanya.

 Kenyataan itu dibuat secara bersama oleh calon DUN Api-Api, Christina Liew Chin Jin, calon DUN Tempasuk, Mustapha Sakmud, calon DUN Inanam, Peto Galim, calon DUN Klias, Abdul Rahman Yakub, calon DUN Sook, Raymond Ahuar, calon DUN Tamparuli, Alijus Sipil dan calon DUN Matunggong, Sazalye Donol Abdullah.


No comments: