Tujuh calon KEADILAN memberi
jaminan kepada rakyat Sabah supaya tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada
26 September ini.
Ini berikutan kenyataan
daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali yang mendedahkan ada
cubaan kemasukan rakyat negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari mengundi
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Kami yakin
profesionalisme pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan
Tentera Malaysia dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan keselamatan
rakyat.
"Rakyat Sabah cukup matang
dan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan PRN
Sabah berlangsung dengan lancar.
"Kedudukan serta hak milik
Sabah tidak wajar dipolitikkan. Kami percaya setiap rakyat Malaysia berdiri
teguh atas fakta Sabah adalah milik Malaysia," menurut kenyataan.
Pada masa sama, calon-calon
KEADILAN berharap isu ini tidak dipergunakan oleh pihak tertentu untuk
menakut-nakutkan rakyat Sabah.
"Kami ingin memberi amaran
keras, jangan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mempergunakan isu ini untuk
mengelirukan dan menakutkan rakyat Sabah.
"Sementara pihak polis
menjalankan siasatan lanjut tentang ancaman ini, kita berharap rakyat Sabah
bertenang. Jangan memperbesarkan isu ini dan paling penting jangan menyebarkan
maklumat yang belum disahkan oleh pihak berkuasa.
"Oleh itu kami ingin
mengingati orang ramai supaya merujuk sumber berita yang sahih, yang paling
penting ialah tidak pasti jangan kongsi," katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat secara
bersama oleh calon DUN Api-Api, Christina Liew, calon DUN Tempasuk, Mustapha
Sakmud, calon DUN Inanam, Peto Galim, calon DUN Klias, calon DUN Sook, Raymond
Ahuar, calon DUN Tamparuli, Alijus Sipil dan calon DUN Matunggong, Sazalye
Donol Abdullah.