TARMIZI MOHD JAM
Cadangan Datuk Husam Musa mahu menggerakkan kempen “Save
Kelantan” mendapat reaksi yang hangat dari penyokong AMANAH bahkan juga
penyokong Pas di Kelantan.
Bagi penyokong AMANAH, gerakan ini akan mendapat sokongan dan
boleh menggerakkan pencinta kebenaran untuk bergabung tenaga.
Namun bagi penyokong Pas, ia bukan satu perkara baru malah bekas
ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin pernah gagal dalam usahanya untuk merampas
Kelantan dari Pas dengan slogan yang hampir sama sebelum ini.
Amir Sulaiman menulis, “Yes… ni baru ada move. Dapatkan lebih
banyak ahli-ahli Pas yang marah dengan dasar Pas menjilat Umno kini. Wujudkan
gelombang penolakan dan keluarkan mereka dari Pas. Bukan terhegeh-hegeh percaya
Tun ada numbers.”
Adenan Ismail pula mengulas, masalah Kelantan memang sangat
kronik bermula dari kekotoran dan sampah sehinggalah masalah sosial terutamanya
yang melanda anak muda.
Bagi beliau, ia dibiarkan tanpa sebarang langkah konkrit oleh
Kerajaan Negeri sejak memerintah Kelantan berdekad yang lalu sehinggalah kepada
pembangunan fizikal yang amat jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
“Jelas menunjukkan Kerajaan Pas telah 100% gagal membawa hasanah
di dunia dan hasanah di Akhirat.
“Ingatlah semua pemimpin Pas akan mati dan kena jawab di akhirat
sama ada tanggungjawab telah dilaksanakan atau tidak atau sekadar llmu tanpa
‘Amal,” tulis beliau.
Mohd Shahri pula menulis, rasanya agak sukar juga mahu mengubah
budaya politik dan persepsi majoriti warga Kelantan.
“Husam Musa mungkin boleh memulakan suatu langkah awal ke arah
perubahan itu. Dia secara peribadi dijangka mampu memenangi satu atau dua
kerusi PRU15,” kata beliau.
Namun, katanya, apapun majoriti rakyat Kelantan diyakini tetap
kekal mempertahankan kerajaan Umno-Pas sekarang ini dengan keyakinan bahawa
Kelantan adalah satu-satunya bumi subur sebagai tanah “tadahan hujan” selain
tanah “tadahan wahyu”
“Menukar kerajaan selain Umno-Pas akan mendedahkan kepada
kejahatan dan khianat cina kafir DAP dan sekutunya… Itulah PERSEPSI yang KUKUH
mengakar di kalangan rakyat Kelantan termasuk sebahagian besar perantau di
pantai barat,” kata beliau.
Hazmira Abu Hanipah pula berkata, “Semoga dipermudahkan urusan
Datuk Hussam... sebagai anak perantau yang berasal dari salah sebuah negeri di
Pantai Timur saya dapat rasai perubahan pernah tinggal di Selangor dan kini
Negeri Sembilan... samalah negeri saya pun rakyatnya dah pekat jugok dengan
BN”.
Namun di sebalik sokongan, tidak kurang juga mengecam cadangan
bekas Naib Presiden AMANAH yang meletakkan jawatan di peringkat pusat kerana
mahu memberikan tumpuan kepada Kelantan itu.
Denzil Haroun menulis, “‘Save Kelantan’... tema yang akan
memakan diri. Seperti Khairy Jamaluddin buat tema “Pade Doh 18 Tahun”.
“Lebih sesuai (tapi tetap sukar) tema yang awal-awal lagi dibawa
oleh Nik Omar: Fastabiqul Khairat,” kata beliau.
“Angan-angan Mat Jenin. Angan-angan Jin Kuasa 10,” tulis Rashidi
Sheedy menyindir kenyataan bekas Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim
Abdullah yang berkata, Husam mempunyai kuasa dan pengaruh luar biasa walaupun
hanya seorang sahaja tetapi berkuasa 10 kali ganda.
Azman Hasbullah pula menulis, “Hahahah... ingat kan selamatkan
Kelantan daripada PAN.”
By Portal Malaysiadateline