Datuk Seri Anwar Ibrahim
menghargai pandangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau
memberi laluan kepada Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri
Pakatan Harapan (PH).
Namun, presiden KEADILAN itu
yakin beliau mampu mendapat sokongan yang mencukupi untuk menjadi calon Perdana
Menteri.
"Dia (Guan Eng) beri
pandangan, tak apa kita dengar pandangan tidak ada masalah tapi pandangan dia
itu tidak beri laluan kepada saya, kalau saya tak boleh (dapatkan sokongan).
"Jawapan saya, saya boleh,
insya-Allah," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.
Dalam laporan media sebelum
ini, Guan Eng memilih Anwar dan Shafie untuk menjadi calon Perdana Menteri.
Jawapan itu menimbulkan spekulasi DAP telah beralih sokongan kepada Shafie
berhubung isu calon PM Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Anwar bersetuju
dengan pandangan Shafie yang meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi
peluang kepada pesakit COVID-19 untuk mengundi pada PRN Sabah.
"Saya setuju kerana
pesakit COVID-19 harus diberi ruang untuk mengundi tetapi sudah tentu perlu
mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya.