KOTA KINABALU – Lapan wakil rakyat Sabah yang bertukar dari UMNO ke Warisan dan UPKO selepas pilihan raya pada 2018 berhasrat memasuki semula UMNO.
Semua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu turut memberi sokongan kepada Tan Sri Musa Aman pada 29 Julai lalu.
Mereka juga mahu bertanding semula menggunakan panji UMNO di kawasan masing-masing dalam pilihan raya negeri akan datang.
Sinchew Daily melaporkan, walaupun demikian, Datuk Bung Moktar Radin yang memimpin UMNO Sabah masih mempertimbangkan penyertaan semula ADUN itu.
Selain lapan ADUN tersebut, beberapa calon UMNO yang kecundang dalam pilihan raya pada 2018 dan kemudian meninggalkan UMNO juga berhasrat kembali dan bertanding semula di bawah tiket parti itu.
Sesetengah daripada mereka juga berpengaruh di peringkat tempatan dan mampu mengukuhkan peluang kemenangan UMNO dan Perikatan Nasional.
Walaupun begitu, disebabkan kerajaan pimpinan Musa tumbang akibat daripada tindakan mereka yang lompat parti, kesetiaan mereka terhadap UMNO juga diragui.
Selain itu, tindakan mereka yang lompat parti juga dikhuatiri menyebabkan sesetengah pengundi berasa muak.
UMNO Kota Belud sebagai contoh telah menyatakan tidak mengalu-alu kepulangan ADUN Tempasuk, Musbah Jamli yang meninggalkan UMNO untuk menyertai Warisan.
Selain Musbah, ADUN lain yang dilaporkan mahu kembali ke UMNO adalah Hamisa Samat (Tanjong Batu), Abd. Muis Picho (Sebatik), Osman Jamal (Balung), Bolkiah Ismail (Pitas), Saddi Abdul Rahman (Sukau), Jamawi Jaafar (Kemabong) dan James Ratib (Sugut).