Mohd Sabu tawar RM10 juta agar Tun tarik balik calon, jangan senyum…

Mohd Sabu tawar RM10 juta agar Tun tarik balik calon, jangan senyum…
Mohamad Sabu (kiri sekali) ketika Amir Khusyairi diperkenalkan sebagai calon PRK Slim.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyindir, beliau akan menawarkan Tun Dr Mahathir Mohamad RM10 juta sekiranya calon Parti Pejuang menarik diri, namun mengingatkan agar Pengerusi parti itu jangan tersenyum bimbang didakwa rasuah.
Secara sinis beliau berkata, seperti kes projek terowong dasar laut, Lim Guan Eng sendiri didakwa terlibat dengan rasuah hanya kerana ‘tersenyum’ apabila ditawarkan 10 peratus daripada keuntungan projek tersebut.
Tun kalau calon Pejuang ini tarik diri, saya akan hadiahkan RM10 juta.
“Jangan senyum Tun, senyum rasuah.
“Jangan senyum, ini tak boleh. Nanti ada orang ambik gambar, boleh didakwa kerana saya menawarkan RM10 juta dan Tun senyum,” katanya dalam ceramah di Slim River semalam.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, ketika ini senyum sahaja sudah boleh kaitkan seseorang dengan rasuah
“Tadi diceritakan bahawa bekas Perdana Menteri dituduh rasuah dan didapati bersalah. Melayu yang kena, awat Cina tak rasuah ke?
“Ingat Cina tak rasuah? Tengok Lim Guan Eng. Dia rasuah lagi besar sebab bila ditawarkan kepada beliau, kalau jadi projek itu, nak dihadiahkan 10 peratus.
“Lim Guan Eng senyum. Senyum itu dianggap rasuah,” katanya lagi.
Terdahulu, berhubung isu rasuah projek terowong dasar laut, kenyataan saksi pendakwa menyebutkan bahawa LGE tidak berkata “tidak” dan tersenyum ketika ditawarkan 10 peratus dari keuntungan projek itu kepadanya ketika bersama di dalam kereta.
Dilaporkan, bukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang meminta, tetapi saksi tersebut yang cuba menawarkan.
Lim juga dilaporkan tidak berkata “Ya”, cuma beliau ‘gagal berkata tidak’ tetapi hanya senyum sahaja ketika ditawarkan oleh saksi tersebut.
Malah, tiada bukti transaksi, tiada wang yang dirampas, dan tiada saksi lain yang berada di dalam kereta tersebut. Sepenuhnya berdasarkan kenyataan saksi pendakwa.


No comments: