Amir Khusyairi graduan undang-undang calon PRK Slim

Amir Khusyairi graduan undang-undang calon PRK Slim
Presiden AMANAH Mohamad Sabu berucap di dalam majlis memperkenalkan calon PRK Slim malam ini.
MALAYSIA DATELINE
Anak muda berusia 38 tahun juga graduan undang-undang dari UIA telah dipilih sebagai calon yang akan bertanding di PRK Slim pada 29 Ogos nanti.
Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang merupakandalam satu majlis memperkenalkan calon di Bilik Gerakan Utama, Persiaran Slim Permata, di Slim River malam ini.
Amir adalah anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.
Isterinya, Dr Nur Aainaa Othman pula ialah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan dan doktor pakar jemputan di hospital Slim River.
Turut hadir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim Chan Lih Kang, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, Ahli Dewan Negara Marzuki Yahya dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.
Bekas pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga kelihatan pada majlis ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

No comments: