Pas-BN Terengganu tidak ‘sebulu’, Muafakat Nasional retak menanti belah

Pas-BN Terengganu tidak ‘sebulu’, Muafakat Nasional retak menanti belah
Nazhan Zulkifli
Muafakat Nasional (MN) di Terengganu ibarat retak menanti belah seperti dapat dilihat dalam pertengkaran antara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Umno negeri dengan Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak semalam.
Ketua AMK Terengganu, Nazhan Zulkifli berkata, pergaduhan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memberi petunjuk besar bahawa pimpinan Pas dan BN tidak ‘sebulu’ dalam MN apa lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Tindakan ADUN Kijal (Ahmad Said) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Terengganu menunjukkan ada unsur perpecahan MN di Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, DUN Terengganu kecoh seketika apabila Dr Alias yang merupakan Exco kerajaan negeri turut bangun menempelak kembali Ahmad Said yang menyebut “Kalau nak gaduh boleh.”
Mengulas lanjut Nazhan menyifatkan Pas dan Umno seolah-olah menggadaikan nasib rakyat Terengganu dengan isu penyelewengan wang rakyat.
“Kita masih belum melupakan tragedi stadium runtuh di Stadium Sultan Mizan yang berlaku pada 2009 di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) satu ketika dahulu, selain projek mega seperti Taman Ilmu Tembila di Besut serta Kompleks Bebas Cukai di Kenyir yang sehingga sekarang masih tiada khabar berita,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kes siasatan projek ‘sakit’ di Terengganu selain menyiasat juga isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said.
“Kita tidak boleh membiarkan isu-isu rasuah dan penyelewengan wang rakyat dibiarkan terlepas begitu sahaja.
“Sidang DUN Terengganu ini menampakkan betapa ahli politik di Terengganu kini sibuk bercakaran demi kuasa dan pangkat.
“Saya bersetuju tindakan ADUN Kijal mempersoalkan pimpinan kerajaan negeri namun beliau juga sepatutnya berani mempersoalkan projek-projek ‘sakit’ yang bermasalah di Terengganu satu ketika dahulu,” bidasnya.
Pemerhati politik sebelum ini menyifatkan hubungan antara Umno dan Pas dalam MN di Terengganu bakal bergoncang jika formula pembahagian kerusi tidak memuaskan hati mana-mana pihak.
Sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini bulan lalu, kepimpinan tertinggi Umno dikatakan mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.
Pas Terengganu pula mengeluarkan pengarahan supaya jentera pilihan raya mereka bersiap sedia menghadapi PRU-15.

No comments: