BERSATU ,PARTI YANG SEMAKIN TIADA MASA DEPAN


Sekurang-kurangnya dua perkara sedang menggugat kedudukan Bersatu ketika ini.
Pertama, kewujudan parti baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad.
Kedua, keengganan UMNO menyertai Perikatan Nasional atau PN, jauh sekali untuk parti yang kalah pilihanraya itu mahu berkongsi kerusi dengan Bersatu.
Kedua-dua gugatan itu secara langsung dan tidak langsung turut sama menggugat kedudukan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Sejak Tun Mahathir mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru dan semalam ia sudah diumumkan dengan nama Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang, sudah ramai mereka daripada Bersatu menyertai parti itu.
Selain ada yang menyertainya atas nama individu, ramai juga yang keluar bersama pimpinan di sesebuah bahagian yang sekaligus menyebabkan bahagian Bersatu itu lumpuh atau terbubar.
Keadaan ini dijangka akan berterusan, apa lagi jika setelah Tun Mahathir menjelajah ke seluruh negara selepas ini untuk memperkenalkan parti barunya itu.
Faktor lain yang menyebabkan ramai meninggalkan Bersatu adalah kerana merasakan parti itu sudah tersasar hala tuju perjuangannya sejak ia bergabung dengan UMNO dan Pas untuk menubuhkan kerajaan PN.
Penggabungan dengan UMNO khususnya, menjadikan perjuangan Bersatu untuk melawan rasuah dan kleptokrasi selama ini, terutama dalam isu 1MDB jadi tersimpan di dalam almari berikutan kedua-duanya sudah saling bergandingan atas kepentingan diri masing-masing.
Dengan itu, mereka yang ingin terus berjuang dengan kemurnian hati tentu saja lebih selesa memilih meninggalkan Bersatu daripada terus kekal di dalamnya, kecuali golongan pencari projek dan penagih kedudukan dalam kerajaan.
Mahu tidak mahu, dengan trend keluar Bersatu yang melanda sekarang ini, parti itu dipercayai akan terus mengecil dan tiada lagi tarikan untuk disertai.
Sementara setiap hari kita dengar di saja sini mereka yang keluar parti, adakah kita dengar penyertaan baru orang-orang biasa masuk Bersatu?
Yang kedua, berikutan UMNO enggan menyertai PN dan Pas juga disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mengikut jejak yang sama, apa nasib Bersatu selepas ini?
Dalam piihanraya akan datang, dalam soal pembahagian kerusi misalnya, tanpa berkawan dengan UMNO dan Pas, di mana Bersatu mahu bertanding?
Kalau bertanding pula, tanpa sokongan dan bantuan jentera UMNO serta Pas, berapa kerusi yang Bersatu boleh menang?
Dalam hal ini, selain enggan menyertai PN, harapan sebenar UMNO ialah agar Bersatu setuju menyertai MN sebagai ahli baru.
Dengan Bersatu berada di dalam MN, UMNO sebagai “abang besar” dalam gabungan itu dapat mengawal keadaan dan mampu bersuara lebih tinggi dari segi pembahagian kerusi.
UMNO dikatakan hanya sedia memberi ruang kepada Bersatu paling sebanyak 13 kerusi saja iaitu jumlah kerusi yang dimenanginya parti itu bersama PH dalam PRU14 lalu.
UMNO sama sekali enggan bekerjasama dengan Kumpulan Azmin Ali, manakala kerusi yang dimenangi oleh Kumpulan Hamzah Zainuddin yang kini berada di dalam Bersatu, semuanya mahu diambil balik oleh parti itu.
Sebagai parti yang Presidennya menjadi Perdana Menteri, diberi laluan hanya bertanding 13 kerusi adalah sesuatu yang mengaibkan bagi Bersatu.
Itu pun, daripada 13 kerusi tersebut, dengan kedudukan Bersatu tiada akar umbi dan jumlah cawangan yang sedikit, tentu saja mustahil untuk memenangi kesemuanya.
Dalam erti kata yang lain, bekerjasamanya UMNO dengan Bersatu bukan untuk mereka menghidupkan parti itu, tetap lebih bertujuan untuk “membunuhnya”.
Oleh kerana sudah biasa berkuasa selama lebih 60 tahun, UMNO sebetulnya mahu merampas kembali kerusi Perdana Menteri itu buat mereka.
Kalau tidak bersama dengan UMNO dan Pas pula, ke mana lagi Bersatu mahu pergi?
Makna kata, dalam apa keadaan sekali pun, Bersatu ketika ini sedang berada di tepi gaung yang bahaya dan selepas PRU15 akan datang, ia mungkin hanya tinggal nama saja lagi.
Bersatu, walaupun ketika ini dilihat sebagai tunjang kerajaan PN, ia adalah parti yang tiada masa depan lagi selepas ini, sebaliknya cahaya di hujung terowong lebih cerah buat UMNO, meski pada hakikatnya Bersatulah yang menyelamatkan UMNO yang telah tersungkur kalah dalam PRU lalu. (Shahbudindotcom 13/08/2020)