Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar
Ibrahim menyeru umat Islam Malaysia agar berhijrah ke arah yang lebih baik.
Dalam perutusan Sempena menyambut
Maal Hijrah 1442, beliau berkata para pendukung awal agama Islam bermigrasi
secara fizikal dalam erti kata yang luas. Termasuk penghijrahan pemikiran dan
sikap daripada kejumudan ke arah reformasi.
"Justeru migrasi atau Hijrah
tidak hanya bermaksud meninggalkan tempat lahir atau bergerak dari satu negara
ke satu negara yang lain semata-mata tetapi ia menonjolkan mesej yang sangat
luas yakni setiap orang Islam harus berani berubah dan menjunjung reformasi,
tidak hanya kepada diri sendiri tetapi juga pada tatanan atau sistem
kenegaraan.
"Para pendukung awal agama Islam
bermigrasi secara fizikal dalam erti kata yang luas. Dunia hari ini menyaksikan
ramai umat Islam berhijrah, sama ada dalam kerelaan mahupun dipaksa atau
diusir. Ada yang berhijrah dalam keadaan aman, dan ada juga yang terpaksa
berhijrah bagi mengelak tempias perang atau gejala penindasan.
"Ia bukanlah jalan yang hina
kerana agama Islam adalah agama yang menganjurkan hijrah dan perubahan. Umat
Islam mesti sentiasa bergerak dan berubah!
"Marilah kita membulatkan tekad
di era baru ini dengan semangat dan kejituan baharu yakni untuk terus melawan kebejatan,
menolak perkauman dan angkat sebuah sistem yang berpaksikan "al-adli wal
ihsan"," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Anwar turut menyeru agar umat Islam merenung
pengajaran dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah selepas
menerima layanan buruk dari pemerintah Quraisy yang menindas.