Merdeka 63 Tahun: Bangkit dari kezaliman, penindasan - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya terus bangkit melawan sebarang kezaliman dan penindasan yang berlaku di negara ketika ini, meskipun sudah 63 tahun mencapai kemerdekaan.

Presiden KEADILAN itu berpandangan, meraikan kemerdekaan bukan sekadar pada tarikh 31 Ogos ataupun meraikan kejayaan menyingkirkan penjajah.

Sebaliknya, kemerdekaan juga membawa erti menolak sikap kezaliman pemimpin dan penindasan terhadap rakyat.
"Yang kita tolak bukan orangnya. Yang kita tolak itu perangainya. Kezalimannya. Rasuahnya. Rompakannya. Penindasannya.

"Sekarang sudah merdeka, apa kita hanya mahu ganti orang Inggeris dengan orang Melayu tapi perangainya lebih kurang sama?" katanya ketika menghadiri majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-63 peringkat KEADILAN Negeri Sembilan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mempersoalkan sama ada janji-janji merdeka satu masa dahulu selari dengan perubahan yang berlaku pada zaman ini.

"Dahulu, kemerdekaan dituntut supaya kita boleh menjadi negara yang menegakkan demokrasi, kesaksamaan dan keadilan. Itu sumpah keramat Tunku Abdul Rahman.

"Ia juga pernah dicatat dalam tulisan jawi di surau dan masjid dan ada tulisan khat cukup berseni di sekolah supaya semua rakyat boleh membacanya. Tetapi ia harus memberi makna.

"Ada orang melihat bahawa keadilan itu bermakna menggantikan penjajah dengan pemimpin bumiputera, tak semestinya tepat. Ia seharusnya mesti diganti dengan rakyat sendiri.

"Ia mesti didokong dengan cita-cita dan nilai baru bagi menjaga kesejahteraan semua," katanya.

Dalam pada itu, Anwar meluahkan rasa bimbang terhadap jurang kemiskinan negara yang masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya.

"Kita tolak penjajah sebab ekonomi dikuasai segelintir orang berkuasa dan kroninya keluarganya kawannya semua kaya-raya. Rakyat seperti petani miskin terus terbiar.

"Saya bukan nak nafikan bahawa sepanjang 63 tahun merdeka seolah-olah tidak ada perubahan tapi kita perlu nilai dari sudut janji merdeka.

"Kita janji akan ada ekonomi kesaksamaan tapi jurang kaya dan miskin terus melebar.

"Malah, jurang orang Melayu kaya dan Melayu miskin makin melebar dan kita berjanji untuk mengurangkan kesenjangan tetapi itu tidak berlaku.

"Sebab apa? Sebab dasar negara ketika ini tidak membantu kepentingan golongan bawah. Ini harus diberi kesedaran kepada rakyat," katanya.


Anwar sempat menggunakan ungkapan daripada pujangga Jawa yang terkenal, Ranggawarsita sebagai peringatan kepada rakyat.

"Yang baik masuk penjara, yang bobrok jadi penguasa. Jadi rakyat harus bikin apa? Rakyat harus eling lan waspodo.
 
"Ia bermaksud rakyat mesti beringat, berwaspada, jangan ditipu dan jangan ditindas. Jangan jadi tali barut peringkat bawah.

"Sukarno pernah menjanjikan jambatan emas buat rakyatnya, bunyinya memukau. Maknanya dari keadaan sengsara dan derita di zaman penjajah kepada bebas merdeka, berdaulat, makmur dan saksama.

"Tapi itu tidak berlaku, jadi jangan kita terpukau dengan janji," katanya.