DEMI BERSATU.PAS MUNGKIN TINGGALKAN UMNO


Walaupun Pas sudah ada perjanjian kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional, hubungan itu mungkin tidak berakhir hingga ke jinjang pelamin PRU15.
Tanda-tanda mutakhir ini memperlihatkan Pas semakin menampakkan hubungan kian erat dengan Bersatu yang Presidennya, Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri.
Dalam masa yang sama, hubungan Pas dengan UMNO pula mula menjadi suam-suam kuku dan tidak lagi seperti dahulu.
Presiden Pas, Hadi Awang selain mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Parlimen baru-baru ini, bahkan turut menjemput Perdana Menteri beramah mesra dengan semua Ahli-Ahli Parlimen parti itu, juga Parlimen minggu lalu.
Kata-kata sokongan dan memuji kepimpinan Muhyiddin, jangan ceritalah lagi, ahli-ahli Pas bawahan pun ramai yang sudah pandai melebarkan pelbagai cerita mengenai kelebihan Perdana Menteri itu.
Tidak cukup dengan itu, di ketika UMNO mengatakan mereka akan merujuk pandangan akar umbi terlebih dahulu sebelum memutuskan mahu bekerjasama dengan Bersatu atau tidak, Pas sebaliknya mengatakan mereka tiada sebarang masalah dengan akar umbi.
Kata Setiausaha Agung Pas , Takiyuddin Hassan, ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi rata-ratanya dapat menerima Bersatu dengan baik.
“Tiada masalah,” kata beliau ringkas.
Sebelum itu, ketika UMNO mengumumkan tidak akan menyertai PN jika ia didaftarkan sebagai gabungan yang rasmi, Pas turut berbeza dengan mengatakan mereka akan menyertainya.
Sekali lagi Takiyuddin juga berkata, Pas adalah antara parti penaja dalam gabungan baru yang ditubuhkan oleh Muhyiddin itu.
Dengan perkembangan ini, oleh kerana UMNO yang lebih dulu mengikat kerjasama dengan Pas, tindak-tanduk Pas kebelakangan ini sudah barang tentu merimas, mencemas dan dan menimbulkan pelbagai tafsiran buat mereka.
Tetapi, secara mudahnya Pas memang lebih memandang Bersatu berbanding UMNO kebelakangan ini dan salah satu sebab utamanya ialah kerana Presiden Bersatu merupakan Perdana Menteri.
Dengan pelbagai jawatan dalam kerajaan, GLC dan duta bergaji menteri walau tanpa perlu ambil tahu apa yang berlaku di Timur Tengah, ia adalah nikmat dunia yang tak pernah terbayang akan dinikmati oleh Pas selama ini.
Lantaran mahu nikmat itu terus dalam dakapan, mahu tak mahu, Pas tentu lebih berterima kasih kepada Muhyiddin berbanding Zahid Hamidi.
Tujuan Pas menunjukkan lebih kecenderungan kepada Muhyiddin tidak lain ialah agar UMNO akhirnya tunduk untuk menerima Bersatu dalam MN atau UMNO setuju menyertai PN dan kemudian tiga parti itu bergabung sebagai Melayu Raya dalam politik negara.
Berbeza dengan UMNO yang mahu mengambil balik jawatan Perdana Menteri daripada Bersatu, Pas hanya mahu mereka kekal menikmati pelbagai jawatan dalam kerajaan.
Untuk itu, Pas bukan mahu banyak kerusi untuk ditandingi sebagaimana UMNO mengingini kouta terbanyak kerana Pas bukan mahu kerusi Perdana Menteri.
Dalam soal berbahagi kerusi, Pas tidak rugi apa-apa kerana yang lebih berebut ialah antara UMNO dengan Bersatu.
Malah Pas boleh senang hati dengan 18 kerusi Parlimen yang dimenanginya sekarang sebagai kouta untuk ditandingi dalam PRU15, asalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah yang sedang dalam genggaman terus dikekalkan buat mereka.
Melalui 18 kerusi Parlimen di mana semuanya ada jawatan dalam kerajaan, ditambah tiga negeri terus dalam penguasaan, syurga dunia apa lagi yang Pas harapkan?
Yang Pas harapkan hanyalah agar Muhyiddin terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang agar nikmat dunia yang dinikmati sekarang tidak lagi terlepas di tengah jalan.
Kalau pemimpin UMNO yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, Pas sedar bahawa belum tentu nikmat yang sama dapat mereka kecapi lantaran dalam UMNO sendiri banyak pemimpinnya yang perlu diberikan jawatan.
Ini berbeza dengan Bersatu, oleh kerana Bersatu tidak ramai pemimpin berkaliber sama ada di Pusat, negeri atau bahagian, maka pengagihan jawatan dan kedudukan secara automatik lebih melimpah untuk Pas.
Sebelum ini pun, ketika Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, walau tanpa ada kerjasama dengan PH atau Bersatu, siang malam disokongnya Ahli Parlimen Langkawi itu dengan nyanyian agar kekal berkuasa sehingga habis penggal.
Alih-alih dapat juga duit royalti RM400 juta untuk Terengganu.
Di era Najib Razak dulu pun begitu juga kecenderungan Pas.
Maknanya, sama ada bekerjasama atau tidak, lebih-lebih jika bersama, memihak dan menyokong sesiapa yang ada jawatan Perdana Menteri adalah kebiasaan baru bagi Pas.
Dalam konteks UMNO dan Bersatu, walaupun tujuan Pas ialah agar UMNO sedia tunduk menerima Bersatu sebagai rakan kongsi dalam PRU akan datang dengan harapan PN terus berkuasa, Muhyiddin kekal lagi sebagai Perdana Menteri dan apa yang dinikmati sekarang tidak berkurangan, tetapi jika diberi pilihan, Pas pasti akan memilih Bersatu berbanding UMNO.
Bukan saja kerana dalam Bersatu ada jawatan Perdana Menteri, malah Pas tiada masalah berpisah dengan UMNO kerana kahwin cerai dan kahwin cerai adalah lumrah bagi parti itu selama ini.
Jika dengan banyak parti sebelum ini pun Pas sudah biasa berkahwin dan kemudian bercerai dengan mereka, apa masalahnya untuk Pas berpisah dengan UMNO?
Lagi pun, berpisah dengan UMNO yang masa depannya belum menentu berbanding memilih Bersatu yang ketuanya sudah pun duduk di kerusi Perdana Menteri, Pas belumlah lagi buta dunia untuk membuat pilihan. (Shahbudindotcom 20/08/2020)

No comments: