Muafakat Nasional retak menanti belah di Terengganu? - Azan Ismail







Pengakuan yang dibuat oleh Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini bahawa tidak berlaku kerjasama antara kepimpinan Pas dan Umno di Terengganu menggugat Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, masalah dalam MN di negeri kaya petroleum berkenaan 'ibarat retak menanti belah'

Katanya, Umno dan Pas sangat sukar untuk bekerjasama kerana permusuhan sejak 1980an lalu akibat Amanat Hj Hadi yang mengkafirkan orang Umno.

Sejak itu, katanya, Umno sentiasa melihat Pas dengan penuh curiga dan begitu juga sebaliknya bagi orang Pas sebarang urusan dengan penyokong Umno sukar diterima.

"Apa yang disebut oleh Datuk Seri Ahmad Said adalah manifestasi keadaan sebenar di akar umbi secara menyeluruh di Terengganu. Sejarah perbalahan Pas dan Umno ini memakan masa beberapa dekad. Pernah berlaku solat Jumaat diadakan dua kali kerana imam yang berbeza politik, malah berlaku penceraian sebab politik dan banyak lagi yang tidak selesai sampai sekarang.

"Kisah isu kerjasama antara Pas dan Umno ini kelihatan cantik di peringkat pusat, yang dirangka oleh Presiden Pas sendiri. Sedangkan dahulu dia juga yang menanamkan doktrin menolak Umno bukan kerana politik, tetapi Umno ini kafir dan tidak boleh diterima.

"Kesilapan ini dilakukan oleh Pas kerana mereka menggunakan agama untuk meraih sokongan politik. Akhirnya perkara ini tertanam begitu teguh dalam kehidupan harian masyarakat luar bandar, terutamanya Melayu di Terengganu," kata Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut Azan, masalah peringkat akar umbi Pas dan Umno di Terengganu tidak mungkin boleh diselesaikan dalam beberapa tahun. Jika ditekan oleh pimpinan atasan sekali pun, katanya berkemungkinan ahli bawahan akan mengambil tindakan bertentangan, terutama pada waktu pilihan raya dan hari mengundi.

Beliau turut tidak menolak akan berlaku sabotaj dalam kedua-dua parti sekiranya keputusan pihak atasan tidak sejalan dengan kehendak ahli bawahan

Mengulas percubaan Bersatu untuk meletak calon pula, bagi Azan, masalah itu seperti menuang petrol kepada api yang sedang menyala. Selain, kerusi Umno tidak begitu banyak yang sanggup dikorbankan oleh Pas, beberapa DUN pula akan terpaksa diberi kepada calon yang pernah berkhianat kepada Umno pada suatu ketika.

"Bersatu ini parti serpihan dan tak ramai ahli dalam parti itu. Ahli Umno yang keluar pun tak ramai, di Terengganu Umno gelarkan Bersatu parti nyamuk, mereka tidak boleh duduk semeja malah benci membenci.

"Hal ini kerana ahli-ahli Umno yang keluar parti ini dulu pegang jawatan kecil sahaja tetapi bila sertai Bersatu ada yang diangkat sebagai Pengerusi GLC (dalam Kerajaan Persekutuan) dan diberi jawatan yang besar. Ini menjadikan cemburu Umno pada Bersatu memuncak dan mustahil untuk bekerjasama serta akan diberi kerusi oleh Umno

"Saya anggap Bersatu akan alami nasib agak menyedihkan dalam pilihan raya akan datang dari segi pengagihan kerusi yang mana Pas tak akan beri apa-apa kerusi dan Umno juga tidak akan bertolak ansur untuk beri apa-apa kerusi," kata Azan lagi.

Untuk rekod, sebelum ini perselisihan kerusi agak meruncing apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Samsuri membayangkan Pas akan mengekalkan kedudukan di 6 kerusi parlimen dan meninggalkan Umno hanya 2 kerusi untuk ditandingi. Sekiranya Bersatu ingin mencelah maka mungkin Umno akan bertanding hanya 1 kerusi.


No comments: