RUMAH SAYA DALAM PARLIMEN PEKAN, NAJIB MASIH WAKIL RAKYATNYA, JANGAN GOPOH MEMUJI, JANGAN GOPOH BERMIMPI



Mahkamah Tinggi telah menjatuh hukum, tetapi Najib Razak belum tumbang, masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Jadi jangan mimpi dahulu tentang Pilihanraya Parlimen Pekan (rumah saya dalam kawasan parlimen ini).

Kelakarnya ada rakan-rakan lama yang kini mendokong Perikatan Nasional mengata penghakiman kes Najib Razak ini bukti ketelusan pentadbiran Muhyiddin Yassin. Kalangan rakan lama ini dahulunya ada yang jadi pahlawan perjuangan. Jadi pahlawan ini jangan mudah tergoda dengan musuh yang menghidang manisan, kelak kita ditikam ketika santai duduk bersila. Bukankah Anwar Ibrahim pernah dibebaskan mahkamah ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri? Sambil kita meraikan keberanian mahkamah membuat keputusan secara berintegriti, tidak pula sampai kita mengaitkan bahawa Barisan Nasional telah berubah menjadi baik. Bahkan rakan lama yang saya maksudkan itu pun pada waktu itu masih melawan BN pimpinan Pak Lah, tidak pula mengata Pak Lah dan BN sudah menjadi telus. Menjadi pejuang ini, satu perkara penting yang perlu kita sematkan di hati kita adalah, pertentangan kita selamanya bukanlah kerana orang, bukan kerana Mahathir secara peribadi, bukan kerana Pak Lah secara peribadi, bukan kerana Najib secara peribadi, bukan kerana Muhyiddin secara peribadi, tetapi kerana sistem, sistem yang diguna oleh pemimpin-pemimpin ini, sistem yang menguasai organisasi yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin ini. Selagi pemimpin-pemimpin ini percaya dan memegang sistem yang condong rasuah, korup, zalim, autoritatif, mengekang, pecah-perintah, salahguna kuasa, politik naungan yang salah, kronisme dan nepotisme berasas materi, menekan dan mengugut, angkuh dan sombong, machiavellian, membunuh karakter, politik kotor, politik khianat, selagi itulah pemimpin jenis ini kita lawan. Reformasi maksudnya merobah sistem, jalannya adalah mengangkat pemimpin yang percaya dengan perubahan sistem, mengangkat pemimpin yang punya gagasan tentang sistem baharu yang bertunjang keadilan dan kebaikan. Innallahaya'muru bil 'adliwal ihsaan (Sesungguhnya Allah suka kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan).

Zukri Aksah
Ketua Komunikasi Nasional
GERAK98

gambar: Himpunan #KitaLawan, ketika itu kita lawan Najib, bukan Dr. Mahathir bin Mohamad yang lawan, bukan Parti Pribumi BERSATU Malaysia yang lawan.
kredit gambar: Malek Baretta (Pak Malek masih lawan ke dah jadi kawan? 😁)

No comments: