Bekas Adun Amanah di Perak sertai PPBM


Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memutuskan untuk menyertai PPBM kerana ia sebahagian daripada PN dan keyakinannya terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Amanah dan Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menyertai PPBM.
Sinar Harian melaporkan Hasnul yang meninggalkan Amanah pada Mac lalu, menyerahkan borang keahliannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga presiden PPBM hari ini.
Katanya, beliau memutuskan untuk menyertai PPBM kerana ia sebahagian daripada Perikatan Nasional dan keyakinannya terhadap kepimpinan Muhyiddin.
“Saya melihat kesungguhan Tan Sri Muhyiddin membawa budaya politik baru yang menekankan akauntibiliti dan khidmat terus kepada rakyat tanpa ada jurang pemisah,” katanya sambil menambah beliau membuat keputusan menyertai PPBM beberapa bulan selepas meninggalkan Amanah kerana tidak mahu dianggap mengejar jawatan dalam kerajaan
Bekas exco Perak itu ialah seorang daripada 3 Adun Pakatan Harapan yang meninggalkan parti mereka dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PH susulan pembentukan PN.
Dua Adun lain ialah Adun Tronoh, Paul Yong dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam daripada DAP.
Susulan penyertaan Hasnul dalam PPBM, parti itu kini mempunyai 5 Adun di Perak, termasuk Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu (Chenderiang), Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), dan Abdul Yunis Jamahri (Kuala Kurau).

No comments: