Sengketa pembahagian kerusi: PN karam menjelang PRU 15?
Perikatan Nasional (PN) diramal bakal karam menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akibat persengketaan pembahagian kerusi antara sesama mereka.
Menurut penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, kemelut pengagihan kerusi merupakan perkara yang sensitif dan sukar untuk diselesaikan kerana Umno, Pas dan Bersatu mempunyai kubu dan kerusi dijangka menang bertinding antara satu sama lain
Berbanding parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), katanya, ketiga-tiga komponen PN itu bersaing dalam konstitusi yang sama, iaitu Melayu-Islam.
“Persoalannya sekarang, siapa yang akan mengalah? Setakat ini pembahagian kerusi dalam kalangan ahli Parlimen Muafakat Nasional (MN) masih belum teruji.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau itu memang sudah jelas kerusi Barisan Nasional (BN).
“Tetapi untuk PRU akan datang, akan timbul masalah tentang pembahagian kerusi. Saya menjangkakan Umno dan Pas tidak akan pandang kepada Bersatu,” katanya dipetik Malaysia Dateline.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataannya berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus Umno kini ialah bersedia memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam MN dan BN serta Umno akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini.
Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, parti Bersatu dilihat sebagai ‘tiada apa-apa’ dalam persaingan antara ketiga-tiga komponen PN itu.
“Sama juga dengan kumpulan Azmin Ali. Apa kekuatan Azmin? Selama ini dia menang dengan siapa? Menang dengan kekuatan PH .
“Azmin mungkin mahukan kawasan Gombak, Pas kata Gombak mereka punya, Umno pula kata kami pun kuat.
“Jadi, saya fikir memang masalah akan timbul sebab usahkan Bersatu, Umno dan Pas yang mempunyai gabungan kuat setakat ini pun tidak teruji lagi pembahagian kerusi untuk PRU,” katanya.
Dalam isu sama, Dr Mazlan turut menyifatkan konsep pembahagian kerusi yang diguna pakai oleh PH dilihat berbeza dan lebih mantap.
“Dalam PH ianya jelas dan mempunyai kerangka asas iaitu kawasan yang majoritinya Cina, calon DAP akan diletakkan di situ.
“Untuk kawasan campuran, diletakkan calon PKR manakala kawasan campuran yang mempunyai ramai pengundi Melayu-Islam, calon AMANAH akan berada di situ,” katanya lagi.