DILEMMAKU TERHADAP MAHATHIR SIRI 2-OLEH HASSAN KARIM

BAHAGIAN 2

Hal ini berlaku pada akhir tahun 2017, sebelum Pilihanraya Umum ke-14.Persoalannya yang perlu aku putuskan: Hendak bekerjasama dengan Mahathir atau tidak?

Pada malam Forum di JB itu, aku teringat semula 20 tahun yang lalu iaitu pada 19 haribulan September 1998 di sebuah ruang pejabat di tingkat satu di Bangsar, Kuala Lumpur.Isyam dan aku berjam-jam berdebat di dalam pejabat itu.Bukan soal Mahathir tetapi soal Anwar Ibrahim.Isunya sama ada hendak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim atau tidak dalam gerakan reformasi menentang ''diktator'' bernama Mahathir Mohamad.

Tiga jam kami berdua berbahas.Meninggikan suara, merendahkan suara, membeliakkan mata, mengetap bibir dan berpanas muka untuk meyakinkan antara satu sama lain.Aku yang ketika itu menjadi Ketua Angkatan Pemuda PRM (Presiden PRM waktu itu ialah Prof. Dr. Syed Husin Ali) membawa gagasan kepada Isyam bahawa golongan progresif atau kiri perlu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, yang baharu sahaja dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga jawatan Timbalan Presiden Umno.

Isyam waktu itu baharu sahaja pulang dari London, United Kingdom, selepas  menjadi pelarian politik lebih 20 tahun.

Anwar Ibrahim pula, setelah dipecat oleh Mahathir telah memulakan road show reformasi, satu siri ceramah menemui rakyat jelata di seluruh negara.Sambutan rakyat terhadap ceramah reformasi itu amat luar biasa.Aku sendiri berasa teruja dengan kebangkitan rakyat itu.

Keesokan harinya 20 haribulan September 1998 (sehari selepas perdebataanku dengan Isyam), Anwar Ibrahim akan berucap di dalam perhimpunan reformasi yang besar bermula di Mesjid Negara dan kemudiannya ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Aku pula waktu itu, sebagai Ketua Angkatan Pemuda PRM telah menemui Anwar Ibrahim dirumahnya di Bukit Damansara, Jalan Setiamurni.Aku membawa satu delegasi pemuda-pemuda PRM dan memberi ikrar akan menyokong gerakan reformasi yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Pada masa yang sama, waktu itu, kawan baikku semasa zaman di Universiti Malaya, bernama Ahmad Zahid Hamidi adalah Ketua Pemuda Umno yang menjadi penyokong kuat kepada Anwar Ibrahim.

Di Bangsar, kira-kira 20 tahun yang lalu, aku menggesa Isyam supaya turun ke gelanggang menyokong gerakan reformasi.

‘’Jangan duduk di luar gelanggang. Ini kebangkitan rakyat. Reformasi ini digerakkan oleh para belia, pelajar, orang-orang muda dan rakyat jelata.Khususnya rakyat Melayu,’’ ujarku untuk meyakinkan Isyam.

‘’Jika engkau tak sertai sama, engkau akan ketinggalan,’’ aku memberi amaran kepada Isyam.

Masalah Isyam waktu itu bukannya tentang gerakan reformasi.Masalahnya ialah kerana reformasi itu dipimpin oleh Anwar Ibrahim.Seperti aku juga kemudiannya.Masalah aku bukan Deklarasi Rakyat.Tetapi kerana Deklarasi Rakyat itu diterajui oleh Mahathir.

Isyam  dan Anwar Ibrahim datang dari Kolej yang sama iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian mereka melanjutkan pelajaran di universiti yang sama iaitu Universiti Malaya. Anwar kira-kira tiga tahun lebih tua dari Isyam.Walaupun berasal dari kolej yang sama dan universiti yang sama tetapi Isyam dan Anwar berbeza ideologi politik.Kepadaku, berbeza ideologi politik bukannya satu kesalahan jenayah.

Aku tahu, Isyam tidak percaya akan consistency pendirian Anwar dalam politik apabila Anwar pada tahun 1982 menyertai UMNO dan menyertai Kabinet Mahathir. Sedangkan waktu itu, Isyam terus istiqamah dengan perjuangan kirinya yang dimulainya sejak dari zaman beliau di universiti lagi.

Sampai letih kami berhujah sehingga akhirnya tiada persetujuan dicapai. Aku meninggalkan ruang pejabat Isyam di Bangsar itu dengan tidak pasti apa sikap Isyam ketika itu.

Hanya ketika keluar dari dari ruang pejabat itu, aku berkata kepada Isyam bahawa aku akan hadir perhimpunan reformasi di Mesjid Negara dan di Dataran Merdeka pada petang 20 haribulan September 1998, keesokannya.

Aku harap Isyam akan ikut serta. Isyam tidak menjawab. Dia tidak mengangguk.Tetapi Isyam juga tidak berkata ‘’tidak’’.Dia bersalaman denganku, dingin.

No comments: