Kenyataan Media



1 Mei 2020

*Hentikan budaya menyalahkan penjawat awam*

Pusingan-U kerajaan Perikatan Nasional yang mengenakan faedah ke atas peminjam sewa beli yang mengambil moratorium telah menimbulkan kemarahan rakyat. Namun, Menteri Kewangan bukan sahaja tidak mengaku salah, malah beliau salahkan Bank Negara atas komunikasi yang lemah. Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, dalam tweetnya juga beranggapan bahawa Governor Bank Negara wajar dipanggil untuk membuat penjelasan.

Saya berasa amat kesal dengan sikap menteri-menteri Perikatan Nasional yang sering kali menyalahkan penjawat awam. Kekeliruan tentang moratorium adalah perkara polisi yang merupakan bidang kuasa kerajaan. Menteri Kewangan harus memikul tanggungjawab ini dan selesaikan masalah tersebut secara tuntas. Menuding jari pada kakitangan kerajaan yang terima arahan daripada kerajaan ibarat lain bengkak lain bernanah.

Ini bukan kali pertama pemimpin Perikatan Nasional menyalahkan penjawat awam yang semata-mata menjalankan tugas mereka. Pada bulan Mac tahun ini, 5 kerajaan negeri tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Covid-19 bersama Perdana Menteri. Apabila Perdana Menteri dipertikaikan, Ketua Setiausaha Negara yang dipersalahkan dan terpaksa meminta maaf. Apakah ini cara Perikatan Nasional menjaga maruah para penjawat awam?

Saya mendesak kerajaan PN hentikan budaya suka menyalahkan penjawat awam ini dengan kadar segera. Kalau menteri-menteri Perikatan Nasional tidak berupaya untuk merungkai kemelut negara, mereka harus jaga mulut dan elakkan daripada mengguris hati penjawat-penjawat awam, terutamanya mereka yang sedang berperang dengan virus Covid-19 di barisan hadapan.


*CHANG LIH KANG*
Naib Presiden KeADILan
Ahli Parlimen Tanjong Malim

https://m.malaysiakini.com/news/523578

No comments: