DILEMMAKU TERHADAP MAHATHIR SIRI 3-OLEH HASSAN KARIM

BAHAGIAN 3

Tetapi keesokannya pada 20 haribulan September 1998, Isyam turun juga ke jalanraya menyertai himpunan reformasi di Mesjid Negara dan di Dataran Merdeka. Dia hadir lebih sebagai pemerhati pada ketika itu.

Kehidupan politik juga kadang-kadang seperti roda kereta.Berputar ke atas dan ke bawah. Dua puluh tahun kemudian, di Johor Bahru, giliran Isyam pula turun ke Johor untuk meyakinkan aku supaya menyokong Deklarasi Rakyat. Isyam minta aku supaya sokong Deklarasi Rakyat terlebih dahulu, sekiranya aku masih ada ‘’reservation’’ terhadap Mahathir.

Pada malam sebelum Forum di Johor Bahru itu bermula, di hadapan Isyam dan disaksikan Salleh, aku turunkan tandatanganku menyokong Deklarasi Rakyat yang dijuarai oleh Mahathir.Sejak pada malam itu sikapku terhadap Mahathir mulai lunak, tetapi aku masih berjaga-jaga.Aku masih tidak percaya.

Sambutan rakyat di Johor ketika itu terhadap Mahathir amat luar biasa.Bekas Perdana Menteri itu sangat popular.Aku lihat pengaruhnya di kalangan rakyat Melayu khususnya masih kuat, baik yang tua mahupun yang muda termasuk golongan profesional.Aku mula faham mengapa orang seperti Isyam sanggup bekerjasama dan menyokong Mahathir dalam usaha untuk menjatuhkan Najib.

Aku masih mengharap kempen perubahan dan reformasi terus dipimpin oleh Anwar Ibrahim.Malangnya Anwar masih merengkok di dalam penjara.Aku anggap Mahathir berjaya ‘’hijack’’ perjuangan rakyat dengan menonjolkan dirinya sebagai penyelamat.Sedangkan pada ketika itu, aku masih berpendirian bahawa banyak masalah di Malaysia yang bersifat struktural dan institusi berpunca di zaman pemerintahan Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.