Beri ruang Makcik Kiah faham jual beli atas talian

Beri ruang Makcik Kiah faham jual beli atas talian

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi cabaran besar kepada golongan peniaga dan usahawan kecil di negara ini untuk menguasai urusan jual beli secara dalam talian dan tanpa tunai.
Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, kerajaan perlu bersedia untuk memberi pemahaman tentang normal baharu kepada golongan usahawan yang menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Makcik Kiah belum mahir dengan e-dompet, pasar virtual ini. Jadi, kita kena sediakan kefahaman kepada mereka kecil ini.
“Berikan keyakinan diri kepada mereka. Musim Covid-19 ini sekurang-kurangnya ada sinar di di hujung terowong apabila tidak perlukan premis dan jumlah pekerja yang ramai,” ujarnya.
Oleh sebab itu, katanya, sektor usahawan kecil dan sederhana tidak harus diperkecilkan memandangkan sumbangan besar kelompok tersebut kepada negara.
“Kalau kita tidak dapat pulihkan ekonomi seawal Jun ini, kita mungkin akan melihat kesan lebih teruk kepada usahawan kita,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata demikian dalam slot forum bertajuk “Covid & Pasca Covid: Impak Ekonomi kepada Rakyat” secara langsung menerusi slot Perspektif di Facebook AMANAH Kedah.
Mengulas lanjut, Dr Hatta berpendapat industri logistik pada masa akan datang terus berkembang untuk menggerakkan ekonomi.
“Hari kini kita lihat yang jadi tonggak logistik adalah penunggang penghantar makanan. Di sinilah peranan kerajaan seperti peranan institusi-institusi kewangan kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana usahawan kecil dan sederhana yang terhenti mencari rezeki kerana Covid-19 harus diberikan galakan secara aktif.
“Mungkin buat masa ini, gerakkan usahawan ini untuk faham tentang apa perniagaan seperti peruncitan secara atas talian,” kata Dr Hatta lagi.
Turut serta Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh merangkap ADUN Pengkalan Kundor;  ADUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris dan ADUN Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.