PRK DUN CHINI - KEADILAN WAJAR BERTANDING




SPR menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang pada 4 Julai 2020.  Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

PRK Dun Chini terpaksa diadakan berikut Adun Chini YB Datuk Seri Abu Bakar Harun telah meninggal dunia pada 7 Mei di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).

Pada PRU-14 lalu, calon BN mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.  Pada pertembungan tiga penjuru itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PH (Keadilan) Mohamad Razali Ithnin (1,065).  Untuk pengetahuan, calon Keadilan tersebut kini telah pun istihar keluar dari Keadilan.  Alhamdulillah, ada hikmahnya Keadilan tewas di situ pada PRU14.  Bayangkan jika calon Keadilan itu menang, sudah tentu satu Kerusi Dun Keadilan akan hilang kerana sudah pasti beliau akan menjadi "katak". 

Keadilan pernah memenangi Kerusi Dun Chini pada PRU tahun 1999, ketika itu calonnya adalah Mohd Jafri bin abdul Rashid yang telah menewaskan calon Bn, Datuk Wan Mohamad Razali Wan Mahusin dengan manjoriti yang teramat tipis iaitu sebanyak 5 undi sahaja.  Calon Keadilan memperolehi undi sebanyak 4060 undi.  Faktor kemenangan ketika itu dikatakan kerana gelombang reformasi yang melanda di samping sikap terlalu yakin Umno Bn di kawasan felda tersebut. 

Apakah sejarah itu boleh berulang kembali?  Kalau pada tahun 1999 gelombang reformasi telah membantu kemenangan calon Keadilan, apakah setelah 20 tahun gelombang itu masih wujud lagi?  Jawapannya sudah pasti tidak kerana selepas kemenangan Keadilan di situ, pada PRU berikutnya Keadilan tidak lagi pernah memenangi kawasan tersebut.  Bahkan, pada PRU14 yang lalu ketika banyak negeri telah membuat perubahan dan kejutan dengan menolak calon Umno/Bn, calon Keadilan telah mengalami kekalahan yang amat teruk.  Faktor calon bukan anak tempatan serta calon juga diturunkan disaat akhir mungkin menjadi penyebab kepada kekalahan tersebut.  Tambahan pula, Keadilan Cabang Pekan ketika itu boleh dikatakan hampir mati membuatkan jentera kempen terjejas. 

Meskipun sekarang Keadilan Cabang Pekan semakin pulih dan mula bergerak semula walaupun Ketua Cabangnya telah keluar parti, namun tidak mudah untuk Keadilan menghadapi PRK tidak lama lagi. 

Berdasarkan situasi semasa dan rekod prestasi lampau, ramai yang berpendapat Keadilan tidak perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk bertanding dalam PRK kali ini.  Apatah lagi, dalam suasana PKP yang dijangka berterusan sehingga tarikh mengundi yang pastinya akan menjejaskan gerak kerja berkempen, adalah lojik dan wajar Keadilan tidak menyertai PRK ini.  Situasi sebegini tidak sedikitpun menjejaskan calon Umno/Bn kerana sekarang mereka berada di dalam kerajaan pintu belakang yang memerintah dan mereka akan gunakan seluruh jentera kerajaan Pusat dan negeri termasuk media kawalan mereka untuk berkempen. 

Saya secara peribadi seperti juga ramai yang berpendapat adalah wajar Keadilan menyertai PRK kali ini.  Ini bukan soal kalah menang yang rata-rata berkata " Kalah dalam tangan, menang belum pasti", tetapi paling penting Keadilan mesti kekal bermaruah dan berpegang kepada cogankata "Lawan Tetap Lawan".  Keadilan mesti menunjukkan parti keramat ini masih wujud di Pekan terutamanya di Chini.  Keadilan bertanggungjawab menyediakan alternatif kepada pengundi-pengundi di Chini yang menolak Umno/Bn serta Pas. 

Selepas wabak COVID19 melanda negara ini hingga sekarang, inilah PRK yang pertama.  PRK ini juga berlaku setelah kerajaan PH yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 yang lalu telah dikhianati.  Inilah peluang untuk Keadilan meninjau apakah peristiwa pengkhianatan ini boleh diterima oleh masyarakat di Chini?

Sekiranya Keadilan meletakkan calonnya bagi mewakili PH, Keadilan bertanding tidak di dalam keadaan tertekan kerana kita tidak mempertahankan Kerusi tersebut, tetapi kita hanya perlu meningkatkan jumlah undi di situ berbanding PRU14 yang lalu.  Jika kita berjaya meningkatkan jumlah undi, ianya boleh dianggap satu kemenangan moral. 

Satu syarat, Keadilan wajib meletakkan calon anak tempatan yang berpengaruh.  Kemenangan empat penggal calon Umno/Bn sebelum ini dikatakan di antara faktornya beliau adalah anak tempatan.  Oleh itu, Keadilan mesti mendapatkan tokoh di kalangan anak tempatan untuk memberikan saingannya kali ini.

Tokoh anak tempatan itu juga mestilah terdiri dari individu yang dikenali ramai, seorang ahli parti yang terbukti setia dan komited terhadap perjuangan parti.  Jangan sesekali meletakkan calon tangkap muat apatah lagi yang baru menjadi ahli parti selepas PRU14.  Calon seperti ini sukar untuk dilihat kesetiaannya kepada parti dan perjuangan. 

Jangan sesekali membenarkan Umno/Bn atau Muafakat Nasional mahu pun Pakatan Nasional menang tidak bertanding di PRK Dun Chini. 

WFAUZDIN NS



No comments: