AYAM OH AYAM


Mat Saman Kati

Harga ayam punyai pasai, baru kita bising. La ni baru syok sambung cakap pasal sekuriti makanan sebab orang dah rasa. Kalau kita tak rasa, nak baca pasal GFSI pun leceh kan?

Sabjek yang pertama hari tu ialah kemampuan. Bila kita mampu, daging wagyu pun kita kata murah. Bila tak mampu, ayam sepuluh ringgit sekilo pun mahal. Tapi pasai apa harga ayam tak sama dibeberapa tempat? Kat KL sepuluh ringgit. Kat Machang Bubuk, member bagi tau 12.90. Kat Langkawi masih 6.50. Yang ni mereka yang terlibat dalam pengedaran mungkin bolah jawab kot. Aku nak sambung pasal GFSI.

Sabjek kedua dalam GFSI ialah Ketersediaan. (Availability)...dan ia mengandungi beberapa modul.

1. Bekalan yang mencukupi.

Selama ini kita hanya menumpukan kepada Nisbah Keupayaan Diri (Self Sufficiency Ratio).

Kalau tengok pada grafik yang disediakan oleh DOSM ni, banyak jenis makanan yang mana kita menghasilkan lebih dari keperluan. Tapi cuba ambik contoh ayam dan telur, walaupun pengeluaran kita lebih dari cukup, tapi makanan ayam kita di impot 100%. Bila berlaku krisis macam Corvid19 ni, makanan tak dapat dibawa masuk. Ayam nak makan apa?

2. Perbelanjaan awam  R&D untuk pertanian.

Berapa bajet untuk R&D dalam bajet 2020? R&D adalah persediaan untuk masa depan. Kalau tak bersedia, dan hanya mengharapkan produktiviti dari sistem sedia ada, akan timbul krisis pengeluaran. Ataupun kita akan ketinggalan dalam hasil pertanian. Jangan sebut MARDI ya...Mardi bukan institusi awam. Hasil kajian Mardi bukan boleh dikongsi secara percuma dengan rakyat. Kajian Mardi juga dipaten dan kalau kita mau, kena bayar royalti la.

3. Infrastruktur pertanian.

Bukan setakat jalanraya tapi melibatkan banyak perkara. Berapa banyak bilik sejuk yang boleh menyimpan ikan, daging atau hasil tenusu? Hasil pertanian ni mudah rosak. Kalau tak ada sistem penyimpanan yang canggih, kena seminggu rosak habih la. Tu pasai masing-masing pakat tuang dalam parit.

Berapa pelabuhan yang kita ada untuk menurunkan  barang makanan dari kapal? Kemampuan lapanganterbang mengendalikan kargo. Sistem keretapi yang effesien untuk mengangkut barang makanan. Semua ini untuk memastikan bekalan makanan dapat dihantar semasa krisis. Dan yang paling penting, bekalan air dan sistem pengairan yang effisien kesawah atau ladang. Kalau berlaku kemarau atau banjir, adakah ia mampu menghalang tanaman dari rosak.

4. Ketidakstabilan pengeluaran pertanian.

Ini banyak bergantung kepada alam sekitar. Tambah pulak dengan cuaca yang tak menentu disebabkan perubahan iklim. Pokok baru nak naik, tiba-tiba hujan mencurah macam yang berlaku kat member di Pahang kat bawah tu. Gambar tu aku cilok dari fb member.

5. Ketidakstabilan politik.

Yang ni kita sedang hadapi. Tukar kerajaan, tukar menteri, tukar pegawai lantikan politik. Masing-masing nak tukar nama kepada yang baru. Kalau ada idea baru ok la tapi dalam pengalaman lepas dan sekarang, banyak masa dibazirkan.

6. Rasuah.

Penyakit rasuah ini lebih teruk dari penyakit bena perang atau kulat yang menyerang padi. Kalau nak cerita rasuah pertanian ni, seminggu pun tak habis. Bila harga pasaran terlalu tinggi berbanding harga diladang, kita asyik menyalahkan peraih dan pemborong sedangkan hakikatnya, kos rasuah lah yang menyebabkan harga pasaran menjadi tinggi.

7. Keupayaan pembeli bandar.

Hasil pertanian diluarbandar mengharapkan pembelian dari mereka dibandar. Kalau orang bandar pun takdak duit, sayur pun tak laku.

8. Pembaziran makanan.

Kita dok buang hampir 17,000 tan makanan setiap hari. Kalau nak naik nombor 20 dalam ranking GFSI dua tahun lagi, sekarang kita kena cari jalan kurangkan pembaziran.

Sabjek ketiga ialah mutu dan keselamatan makanan. Yang ni best kalau nak kelentong...tapi kalau aku start tulih nanti, lebih dari satu juzuk. Esok aku sambung.

In the meantime, hangpa pernah makan telur..bila dipecahkan ada darah? Bukan telur ayam kampung ya...maksud aku telur ayam yang dihasilkan oleh ayam penelur yang biasa hangpa beli sepapan-sepapan tu.