Wuhan isytihar bebas Covid-19 selepas pesakit kritikal terakhir dibenar keluar hospital



Hospital sementara yang dibina khas di Wuhan bagi merawat pesakit Covid-19. (Gambar AP)

Bandar Wuhan yang menjadi pusat awal koronavirus tidak lagi mempunyai pesakit Covid-19 di hospital selepas 12 individu terakhir dibenarkan keluar wad pada Ahad.

Pelepasan tersebut mengakhiri mimpi buruk selama 4 bulan untuk bandar itu, di mana penyakit ini pertama kali dikesan pada Disember.
Jumlah pesakit yang dirawat akibat Covid-19 di Wuhan mencapai kemuncak pada 18 Februari dengan 38,020 kes dan hampir 10,000 daripadanya berada dalam keadaan parah atau kritikal.
“Dengan usaha bersama Wuhan dan bantuan perubatan nasional yang diberikan kepada wilayah Hubei, semua kes Covid-19 di Wuhan diselesaikan pada 26 April,” kata jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Mi Feng.
Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas bandar itu membenarkan pesakit terakhir yang berada dalam keadaan parah sebelum ini keluar daripada hospital.
Pesakit itu juga merupakan kes kritikal terakhir di wilayah Hubei.
Pesakit terakhir yang dibenarkan discaj dari Wuhan Chest Hospital itu merupakan seorang lelaki berusia 77 tahun dikenali sebagai Ding selepas dia 2 kali diuji negatif untuk Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, dan dibenarkan keluar pada tengah hari Ahad.
”Saya sangat merindui keluarga saya!” Ding memberitahu Changjing Daily.
Seorang pesakit lain yang tidak dikenali ternyata lega ketika meninggalkan hospital: “Udara di luar sangat segar! Cuaca sangat baik hari ini!”
Wuhan menempuh perjalanan panjang dalam usaha menjadikan bandar itu tiada lagi pesakit Covid-19.
Bandar yang mempunyai 11 juta penduduk itu juga merupakan pusat pengangkutan untuk bahagian tengah China, menjalani “lockdown” ketat pada 23 Januari lalu selama 76 hari sehingga secara rasmi dibuka semula pada 8 April.
“Tiada lagi pesakit di hospital pada 26 April menandakan pencapaian besar untuk rawatan Covid-19 di bandar ini,” kata Suruhanjaya Kesihatan Wuhan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua pesakit yang dikeluarkan tidak memerlukan rawatan susulan kerana mereka mungkin masih memerlukan rawatan penjagaan lanjut.
”Menghapus semua kes yang teruk menandakan kemenangan bagi pertempuran untuk melindungi Wuhan,” kata Menteri Kesihatan Ma Xiaowei kepada China Central Television pada Sabtu.














No comments: