Pengunjung 2 pasar di PJ digesa jalani ujian Covid-19


Kerja nyahjangkitan dilakukan di Pasar Taman Megah SS24 selepas seorang peniaga sayur disahkan positif Covid-19.
PETALING JAYA: Pihak berkuasa menggesa sesiapa saja yang pernah ke 2 pasar basah di Petaling Jaya baru-baru ini untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, mereka yang pernah mengunjungi Pasar Jalan Othman antara 5 hingga 18 April lalu dan membeli makanan laut di sana perlu menjalani ujian saringan di klinik kesihatan Taman Medan atau Kelana Jaya.
Begitu juga individu yang pernah berjumpa dengan peniaga sayur di Pasar Taman Megah SS24 antara 11 hingga 25 April lalu untuk menjalani ujian saringan di 2 klinik kerajaan itu.
“Mereka yang ada simptom boleh pergi (menjalani ujian saringan) pada bila-bila masa.”
Dua peniaga, masing-masing seorang di pasar basah di Jalan Othman dan Taman Megah sedang menerima rawatan Covid-19.
Sementara itu, ujian saringan bagi peniaga akan diadakan di 2 pasar itu hari ini dan esok.
Terdapat 578 peniaga di Pasar Jalan Othman dan 60 peniaga di Pasar Taman Megah.
Semalam, pihak berkuasa menutup Pasar Jalan Othman yang lebih dikenali sebagai “Pasar Old Town”, selepas seorang peniaga berusia 51 tahun di bahagian makanan laut dikesan positif Covid-19 hujung minggu lalu.
Peniaga itu dipercayai sebahagian daripada kluster Covid-19 Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menutup Pasar Taman Megah untuk nyahjangkitan selepas seorang peniaga sayur disahkan positif Covid-19.
“Kedua-dua pasar ini akan ditutup sekurang-kurangnya 5 hari,” kata Johary.

No comments: