MGF05022020_SIDANG-MEDIA-PKR-AMPANG_08
Setiausaha Politik Naib Presiden PKR, Nor Hizwan Ahmad (tengah) bersama Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Hamsah Djabir (kanan) bercakap pada sidang media bagi mengulas kenyataan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berhubung pemecatan Naib Presiden PKR di Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2020
AMPANG – Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad mengesahkan Zuraida telah menghantar surat permohonan cuti daripada memegang jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Hizwan berkata, surat yang diserahkan kepada pejabat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar, antara lain menyebut Zuraida akan bercuti sehingga Lembaga Disiplin parti selesai membuat keputusan mengenai tindakan terhadapnya.
“Cuti itu berkuatkuasa serta-merta. Surat cuti daripada menjawat jawatan dalam parti khususnya Naib Presiden PKR itu adalah sehingga prosiding tatacara yang akan dilakukan oleh Lembaga Disiplin selesai,” kata Hizwan dalam satu sidang media disini, hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida juga telah menghantar satu lagi surat kepada Lembaga Disiplin supaya menangguhkan tindakan disiplin terhadapnya.
Ia bagi tujuan tindakan lanjut daripada Lembaga Disiplin setelah Zuraida mendapat dua surat tuntutan saman daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.
Menurut Hizwan, kedua-dua isi kandungan surat tuntutan saman tersebut serupa seperti mana pertuduhan yang dibuat ke atas Zuraida dalam surat notis tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin.
PKR katanya, pernah menangguhkan tindakan terhadap Rafizi Ramli setelah membuat laporan terhadap Lembaga Disiplin tentang kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Bagaimanapun, Zuraida akan terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri.
“Buat masa ini, Zuraida akan terus memegang jawatan Menteri KPKT, ini tidak langsung menjejaskan prestasi dan memberi kesan kepada kerja beliau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang menteri,” jelas Hizwan lagi.
Zuraida bakal berdepan dengan tindakan dipecat oleh parti kerana dakwaan mengkritik Anwar.
Isnin lalu, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, nasib Zuraida dalam parti hanya akan diketahui selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermesyuarat pada akhir bulan ini.
Dalam mesyuarat itu nanti, MPP akan membincangkan keputusan Lembaga Disiplin yang bertanggungjawab menilai surat jawapan Ahli Parlimen Ampang itu berhubung dakwaan melanggar disiplin parti. 

MG