SOSIAL: OPERASI KHAS SELAMATKAN WANITA MENJADI MANGSA AKIBAT DADAH


Mohamad Ezzery Mustaffa.

OPERASI KHAS SELAMATKAN WANITA MENJADI MANGSA AKIBAT DADAH

YAN, 5 FEBRUARI 2020 : Unit Penguatkuasaan & Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Yan bertindak ke atas satu aduan awam berkaitan seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Raga, Yan , Kedah yang disyaki terlibat dengan penagihan dadah. Wanita ini mempunyai seorang anak lelaki berusia lingkungan 4 tahun sering dibawa ke sana sini termasuk mendapatkan bekalan dadah disebuah kawasan berhampiran. 


Ketika anggota penguatkuasa tiba di rumah beliau, didapati beliau berada di bawah rumah bersama anak lelakinya. Setelah memperkenalkan diri , wanita berkenaan mula menangis dan tidak mahu ditangkap. Hasil pemujukan anggota akhirnya wanita berkenaan memberikan kerjasama bagi melancarkan proses selanjutnya. Wanita berkenaan di bawa ke Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

 Hasil ujian saringan yang dijalankan , beliau didapati positif dadah jenis opiat Dan methamphetamine. Hasil soal siasat juga mendapati suaminya juga terlibat dengan dadah dan dipenjarakan. Wanita ini juga mempunyai 2 rekod pusat pemulihan dan 2 rekod penjara. Tambah membimbangkan , wanita ini juga dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan diatas kekurangan wanita ini. 



Anak beliau juga diserahkan kepada keluarga terdekat hasil perbincangan bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengelak daripada anak kecil itu melihat segala perbuatan yang tidak baik oleh ibunya. Kes beliau juga akan diambil tindakan oleh pihak JKM disamping tindakan susulan pihak AADK. 

Kes juga akan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983. Masyarakat juga digesa agar menyalurkan maklumat sekiranya mengenalpasti masalah berkaitan dadah yang berlaku di kawasan kejiranan anda. Sudah jelas tindakan AADK bukannya menghukum malah mencari jalan penyelesaian terbaik membantu agar isu berkaitan tidak memberi kesan negatif dan terlibat dengan aktiviti jenayah yang lain.



No comments: