KES VIDEO INTIM DIKETAHUI DALAM MASA TERDEKAT



KUALA LUMPUR: Satu kenyataan bersama akan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara berhubung laporan analisa video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media di ibu negara pada Isnin.

Ujarnya, laporan analisis dari pakar penganalisis video luar negara itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara akhir tahun lalu.

“Ada media mengatakan kita akan buat pengumuman. Tidak begitu. Apa saya kata dulu (adalah) kita akan dapat analisis pakar luar negara sebelum akhir tahun lalu.

“Memang betul bukan semestinya saya buat pengumuman tentang laporan tersebut. Untuk makluman akhir tahun lalu, kita dah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan PDRM akan buat kenyataan media dalam masa terdekat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Huzir turut menjelaskan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengadakan perjumpaan bersama Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada petang Isnin untuk membincangkan tiga kes berprofil tinggi.

Kes tersebut adalah berkaitan video intim lelaki yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu, laporan analisis poligraf Yusoff Rawther dan akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Kes tersebut (Yusoff Rawther) dan bagi kes SD Azilah, pegawai daripada Unit Bahagian Siasatan Terkelas petang ini berjumpa dengan Peguam Negara membincangkan ketiga-tiga kes berkenaan.

“Kita bincang pada petang ini, kita tengok apa arahan selanjutnya daripada pihak Peguam Negara,” kata Huzir.

No comments: