APA YANG DIKATAKAN ANWAR HARUS DI BINCANGKAN.TOK PA TIDAK SETIA



Apabila Anwar Ibrahim memberi pandangan tidak berapa setujunya jika bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu ingin dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Dr. Mazlee Malik yang meletakkan jawatan, itu tandanya beliau benar-benar ikhlas terhadap Tun Mahathir Mohamad.
Meskipun kuasa melantik itu hak Tun Mahathir selaku Perdana Menteri, pandangan Anwar lebih bertujuan agar pemimpin yang sudah lama berjuang dan bersama dalam Bersatu diberikan keutamaan.
Dengan yang demikian, parti tersebut akan terus kukuh, tiada yang kecil hati atau merajuk lantaran rasa dipinggirkan.
Lagi pun, ramai lagi pemimpin dalam Bersatu yang layak ditonjolkan daripada memberikan jawatan kepada bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai parti itu seperti Mustapa Mohamad yang paling banyak diperkatakan kononnya akan dilantik mengisi kekosongan Dr. Mazlee itu.
Harus disedari bahawa Mustapa atau Tok Pa hanya menyertai Bersatu pada Oktober 2018 iaitu setelah Bersatu menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan selepas berjaya menumbangkan BN pada PRU14 yang diadakan 9 Mei tahun tersebut.
Dalam erti kata lain, Tok Pa meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu setelah UMNO hilang kuasa dan bukan lagi parti yang menjadi kerajaan.
Beliau bertanding pada PRU14 lalu atas tiket BN dan berjawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Ketua UMNO Bahagian Jeli.
Dalam beberapa PRU sebelum ini juga beliau bertanding atas tiket BN serta atas kapasiti sebagai pemimpin UMNO.
Sudah tentu dalam PRU14 lalu, Tok Pa juga mengundi BN dan tidak mengundi PH yang menggunakan logo PKR ketika itu.
Bermakna, Tol Pa meninggalkan UMNO setelah parti itu hilang kuasa dan mungkin antara sebabnya kerana merasakan UMNO bukan ada apa-apa gula lagi di dalamnya.
Beliau masuk Bersatu pula kerana parti itu sudah jadi kerajaan dan mungkin merasakan banyak peluang dan jawatan ada di dalamnya.
Di sini jelas bahawa kesetiaan Tok Pa bukan kepada perjuangan. Kalau setia kepada perjuangan, kalah atau menang, beliau tentu kekal bersama UMNO dalam apa keadaan sekali pun.
Kalaulah UMNO tidak kalah pada PRU14 lalu dan masih kekal sebagai kerajaan, sudah pasti hari ini Tok Pa langsung tak teringin nak masuk Bersatu.
Bukan saja pasti beliau masih kekal dalam UMNO, malah tentunya sentiasa memuji dan menyanjung Najib Razak.
Isunya, wajarkah orang seperti itu diberikan menteri dalam kerajaan PH melalui tiket Bersatu?
Kalau trend itu berterusan dan selepas ini beberapa pelompat parti lagi diberikan jawatan, apa jadi akhirny kepada pemimpin lain yang sejak awal banyak berpeluh, berhujan, berpanas serta bergolok bergadai untuk menghidupkan Bersatu?
Maka, keikhlasan Anwar dalam pandangannya itu harus diambil kira dan jangan diketepikan begitu saja.
Dalam hal ini, ramai yang keliru, tak faham atau sengaja tidak mahu faham seolah-olah kononnya kata-kata Anwar itu ditujukan kepada semua bekas pemimpin UMNO.
Anwar sebenarnya hanya memaksudkan kata-katanya itu kepada bekas pemimpin UMNO yang melompat menyertai Bersatu setelah UMNO bukan lagi sebuah kerajaan.
Beliau tidak menujukan kepada semua bekas pemimpin UMNO yang sejak awal lagi sudah bersama Bersatu dan PH.
Mana mungkin Anwar menolak semua bekas pemimpin UMNO kerana beliau sendiri, Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin serta ramai yang lain adalah bekas-bekas pemimpin UMNO belaka. (ShahbudinHusin 06/01/2020)