ATAS ISU RAKYATLAH MAKA ISU PERALIHAN KUASA DIPERKATAKAN - JAWAPAN KEPADA RAIS YATIM DAN DR AFIFF



Membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Rais Yatim 'orang baru' di dalam Bersatu dan PH serta kenyataan Dr Afiff (Keadilan) Exco P.Pinang tentang isu peralihan kuasa jawatan PM, saya melihat kedua-duanya meletakkan asas tentang 
' menangani masalah rakyat dan janji-janji manifesto' untuk memberikan hujah tidak perlu memperkatakan tentang isu peralihan kuasa.

Jika isu rakyat dan janji manifesto dijadikan sebagai hujah utama untuk memperkatakan tentang peralihan kuasa, maka itulah juga asasnya ramai pihak bercakap tentang perlunya Tun M mengotakan janjinya untuk menjadi PM sekitar dua tahun sahaja iaitu sehingga Mei 2020 atau lebih awal lagi.  



Oleh kerana banyak perkara yang telah di'langgar' oleh Tun M yang bertentangan dengan semangat reformasi dan janji-janji manifesto sehingga kini, maka semakin kuat rakyat akan memperkatakan tentang bila Tun M mahu serah jawatan kepada Anwar?  Sekiranya rakyat semakin selesa dan Tun M dilihat tidak melanggar beberapa janji manifesto dan kehendak rakyat sebelum PRU14 yang lalu, saya tidak fikir isu peralihan kuasa ini begitu lantang disebut.  Bahananya kita lihat PRK terakhir tahun 2019 di Tg Piai di mana PH telah diaibkan begitu teruk sekali.  Amaran telah diberikan kepada PH bahawa apa yang telah dilakukan di bawah kepimpinan Tun M sekarang tidak disenangi oleh rakyat.  

Bagaimana kita boleh sebut utamakan masalah rakyat terlebih dahulu dan jangan fikir soal peralihan kuasa, sedangkan ibu segala permasalahan yang tidak diselesaikan itu terletak di bawah PM sekarang.  Bagaimana kamu mahu menutup mulut rakyat dari berbicara soal peralihan kuasa sedangkan mulut Tun M sentiasa menyebutnya di dalam berbagai bahasa dan maksud yang berbeza serta memeningkan kita semua. Jika isu peralihan kuasa itu adalah hak mutlak Majlis Presiden untuk menentukan, mengapa Tun M bebas bercakap tentang isu ini mengikut sesuka hatinya?  Beliau bercakap soal dua tahun, beliau bercakap soal memulihkan ekonomi terlebih dahulu dan beliau bercakap juga tentang selepas persidangan APEC.  Apakah kita mahu beliau terus bercakap sesuka hatinya tanpa memperdulikan kuasa Majlis Presiden?

DR Rais Yatim di dalam kenyataannya lebih menunjukkan kebodohan bekas Menteri Umno itu.  Beliau cuba berhujah dengan mengungkit kembali soal pengampunan Agong terhadap Anwar.  Mengapa sewaktu proses ini sedang berjalan atau lebih awal dari itu beliau tidak menyentuh atau mengulasnya?  Mengapa disaat Anwar semakin disebut untuk mengambil alih jawatan PM dari Tun M, baru sekarang Dr Rais Yatim mahu mengulasnya?  Apakah beliau suka sekiraya kes beliau berkaitan Amah Indonesia pada tahun 2007 itu diungkit dan dipertikaikan kembali?  Apakah kerana melihat ada kekosongan jawatan Menteri Pendidikan yang ditinggalkan oleh Mazlee Malik, maka Dr Rais harus muncul sebagai 'hero jadian' agar namanya turut dijeling oleh Tun M?  

Rakyat memilih PH kerana manifestonya walaupun Tun M sebut manifesto bukan kitab suci.  Benar, manifesto bukan Al-Quran, tetapi menunaikan janji itu disebut di dalam Al-Quran.  Rakyat pilih PH kerana mahu melihat reformasi ke atas semua institusi kerajaan bukannya membuang Menteri yang beriltizam untuk melakukan reformasi.  Rakyat tidak mahu melihat PH menang, Bn yang senang. Usah bicara soal permasalahan rakyat, janji-janji manifesto atau reformasi sekiranya PM yang ada sekarang cuba untuk kembali menjadi PM ke 4 dahulu.  

Seperti kata Dr Afiff, memetik dari kajian 70% rakyat mahu berbicara tentang kos sara hidup dan janji-janji manifesto.  Kajian dari Merdeka Centre berakhir Nov 2019 juga turut menyatakan 62% mahu Anwar menjadi PM.  Di kalangan 70% yang disebut oleh Dr Afiff itu berkemungkinan besar berada di dalam 62% yang mahu peralihan kuasa berlaku tidak lebih dari dua tahun seperti yang Tun M sendiri pernah janjikan.

WFAUZDIN NS


No comments: