MPP KEADILAN Memperakukan Syor SPRM Dengan Memecat Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi

KENYATAAN MEDIA

MPP KEADILAN Memperakukan Syor SPRM Dengan Memecat Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi

Pada 23 Oktober 2019, satu surat serta laporan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, YB Dato’ Ahmad Kassim. Laporan tersebut telah memperincikan hasil siasatan lengkap terhadap dua individu, iaitu Zakaria bin Abdul Hamid (mantan Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya merangkap Ketua Cabang Bera) dan Ismail bin Dulhadi (anggota KEADILAN). Siasatan itu adalah berdasarkan satu laporan yang dibuat oleh Syukri Razab, Setiausaha AMK, pada 25 September 2018, yang mendakwa dua individu tersebut telah membuat satu perjumpaan bersama ketua-ketua ranting KEADILAN Cabang Bera.

SPRM telah mendapati bahawa Zakaria telah memberitahu hadirin di pertemuan itu berkenaan peruntukan RM300,000 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan meminta setiap ketua ranting menyediakan kertas kerja bagi projek kecil bernilai RM20,000. Beliau turut memberitahu yang hadir untuk mengambil keuntungan RM2,000 ke RM3,000 bagi setiap projek.

Ismail pula telah didapati menyerahkan senarai nama kontraktor yang terdiri daripada mereka yang hadir itu kepada Majlis Daerah Bera. Apabila disiasat SPRM, pegawai Majlis Daerah Bera mengakui senarai yang dikemukakan Ismail mempengaruhi dirinya sewaktu membuat pilihan kontraktor.

SPRM mendapati bahawa tindakan Zakaria meminta ketua ranting mengambil keuntungan peribadi bagi projek adalah satu kesalahan. SPRM turun mendapati tindakan Ismail memberi senarai nama kontraktor itu adalah satu kesalahan.

Akhirnya, mengambil kira kepentingan awam, Timbalan Pendakwa Raya SPRM telah memperakukan agar tindakan tatatertib diambil parti terhadap kedua-dua individu tersebut.

Kesemua fakta ini telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, YB Dato’ Ahmad Kassim kepada Majlis Pimpinan Pusat pada 24 November 2019, dengan cadangan tindakan tatatertib iaitu dua anggota tersebut dipecat. 

Setelah mempertimbang semua fakta, dapatan dan hasil siasatan mendalam pihak SPRM beserta perakuan tegas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, MPP telah membuat keputusan bersetuju dengan cadangan Lembaga Disiplin untuk memecat dua individu tersebut.

KEADILAN mengulangi kesungguhan parti menolak sepenuhnya amalan rasuah, seiring komitmen Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir yang ingin menzahirkan Malaysia Bersih dan bebas rasuah.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

1 Disember 2019