Sama ada memang dirancang atau hanya kebetulan, semakin hari krisis yang berlaku dalam PKR ternampak lebih mempunyai satu tujuan – menggagalkan Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad.
Tetapi, jika diimbas detik awal sejak PH menang PRU14 lalu di mana Azmin Ali terus dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu jawatan kanan dalam kabinet walaupun namanya tidak pernah dicalonkan oleh PKR kerana ketika itu sudah mengangkat sumpah sebagai MB Selangor dan sekarang beliaulah yang menjadi punca krisis dan kuat mahukan Tun Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal, sukar untuk menolak bahawa semua ini adalah perancangan halus yang sengaja dicatur Perdana Menteri.
Sebab itulah juga sehingga kini Tun Mahathir masih berdolak-dalik mengenai tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, meskipun sebelum PRU14 pernah berjanji mahu memegangnya selama dua tahun saja.
Jika tempoh memegang jawatan pun sukar mahu beliau putuskan, menetapkan tarikh penyerahan jawatan kepada Anwar tentulah lebih sukar lagi bagi Tun Mahathir melakukannya, walaupun sebelum ini bersetuju agar perkara itu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
Sementara Majlis Presiden PH bermesyuarat hampir setiap bulan, malangnya sehingga ini isu penetapan tarikh peralihan kuasa belum lagi dijadikan agenda mesyuarat.
Dalam hal ini, tidak sedikit masyarakat umum membuat kesimpulan bahawa Tun Mahathir bukan saja mencatur pergolakan dalam PKR, malah tidak pernah ikhlas terhadap Anwar sebagaimana Presiden PKR itu sentiasa bersikap pemaaf dan menerima baik kehadiran Tun Mahathir dalam PH.
Sebaik saja kuasa dalam genggaman, Tun Mahathir tidak membuang masa untuk mencatur pergolakan dalam PKR dengan menjadikan Azmin sebagai umpannya.
Sama ada Azmin sedar atau tidak, umum percaya beliau sebenarnya tidak lebih seolah-olah alat yang sedang diperalatkan oleh Tun Mahathir untuk memecah-belahkan PKR dan mengekang Anwar.
Ibarat habis madu sepah dibuang, itulah nasib Azmin selepas ini.
Dengan menjadi kumpulan serpihan kecil yang tidak mampu menandingi kekuatan Anwar, di samping kes “video Haziq” yang sedang dihadapinya, Azmin tidak akan ke mana-mana dan boleh dikata tiada masa depan lagi.
Masa depannya hanya ada selagi Tun Mahathir mampu melindunginya.
Bagaimanapun, dengan paparan yang terang dan jelas dalam paparan video yang dikaitkan itu dan terlalu sukar untuk dinafikan, terus melindungi Azmin hanya akan menjadi beban kepada Tun Mahathir sendiri.
Oleh itu, lebih lama Azmin dilindungi, lebih banyak kemerosotan sokongan akan diterima Tun Mahathir dan PH seluruhnya.
Mahu tidak mahu, Tun Mahathir kini mesti sedar dan tiada pilihan lain selain wajib segera kembali kepada janji asalnya iaitu hanya dua tahun saja menjadi Perdana Menteri.
Tun Mahathir, melalui mesyuarat Majlis Presiden PH, mesti dalam tempoh terdekat ini menetapkan tarikh pengunduran untuk seterusnya Anwar mengambil alih teraju kepimpinan negara daripadanya.
Hanya dengan menetapkan tarikh serah kuasa saja dapat mengakhiri krisis Azmin – Anwar dalam PKR ini.
Selepas disahkan tarikh Anwar menjadi Perdana Menteri, Azmin pasti tiada selera lagi untuk terus berbalah dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu atau berani ponteng mesyuarat PKR lagi sepertimana sekarang.
Pilihan Azmin selepas adanya tarikh serah kuasa hanya dua – akur dengan kepimpinan Anwar menerajui PKR, sekurang-kurangnya sehingga pemilihan seterusnya dan menerima kedudukan Presiden PKR itu sebagai bakal PM8 atau jika masih berhati batu – tinggal dan keluar saja daripada parti itu.
Begitu dengan para penyokong Azmin, pilihan mereka juga sama ada akur dengan kepimpinan Anwar dan kekal dalam parti atau keluar mencari haluan lain.
Dengan itu, apa juga pilihan Azmin dan penyokong beliau seterusnya, ia tidak lagi menggugat PKR sebagai parti paling besar dalam PH.
Namun demikian, semua ini hanya akan menjadi kenyataan jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas terhadap Anwar, ikhlas mahu krisis PKR berakhir dan ikhlas mahu melihat PH terus stabil serta mampu menang lagi pada PRU15 nanti. (01/12/2019)