KJ, INILAH MASANYA UNTUK TINGGALKAN UMNO!!!



Walaupun Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi alasan untuk menghormati majlis angkat sumpah berhubung keputusannya tidak keluar Dewan bersama Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas yang membantah perlantikan Speaker, tindakannya itu nyata tidak disenangi oleh banyak pihak.

Selain ramai yang mengecamnya, bekas Presiden UMNO, Najib Razak turut membayangkan bahawa KJ mungkin berdepan tindakan tertentu daripada UMNO.

"Itu (keluar Dewan) adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti mengenai apa-apa keputusan mereka.

"Mungkin mereka patut jelaskan mengapa mereka berbuat demikian," kata Najib lagi yang pertama kali hadir di Parlimen sebagai wakil rakyat pembangkang.

Barangkali jika tidak berkawan dengan Jho Low dan tiada 1MDB, mungkin hari ini Najib masih lagi sebagai Perdana Menteri atau pun setidak-tidaknya tetap di barisan kerajaan.

Annuar Musa yang baru dinaikkan pangkat daripada ketua penerangan kepada setiausaha agung pula mengingatkan agar KJ berpada-pada mempertahankan pendiriannya berhubung keengganan bersama-sama keluar Dewan itu.

Dalam penjelasannya, KJ menyatakan, beliau memutuskan tidak keluar Dewan kerana menghormati majlis angkat sumpah dan tidak mahu mencemarkan nama BN.

Katanya, meskipun ada pertikaian mengenai perlantikan speaker, namun keluar Dewan bukanlah caranya untuk menunjukkan bantahan.

"Hari ini hari Ahli Parlimen mengangkat sumpah, jadi kita perlu hormati Dewan. Cara mana kita nak bantah perlantikan speaker, ia boleh dibuat sewaktu perbahasan atau melalui "standing  order"  pada hari Rabu," ujar KJ menghuraikan rasional keputusannya.

Bersama KJ, seorang lagi Ahli Parlimen yang turut tidak meninggalkan Dewan ialah Anifah Aman dari Kimanis, malah beliau mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff Yusof atas perlantikannya sebagai speaker yang baru.

Selain mungkin akan terus dikecam oleh pelbagai pihak, KJ juga berdepan kebarangkalian akan dipulaukan oleh UMNO selepas ini.

Dalam hal ini, KJ telah menunjukkan sedikit kematangan dalam tindakan politiknya dan jauh berbeza dengan keinginan Najib yang hanya mahukan ahli-ahli parti yang sanggup mati bersama UMNO.

Soalnya, wajarkah sesiapa menggadai nyawa kerana UMNO?

Adakah syurga sebagai balasannya?

Apa pun, tindakan KJ tidak bersama UMNO keluar Dewan kerana membantah perlantikan speaker jelas memperlihatkan parti itu semakin tidak sesuai dengan jiwanya.

KJ tidak perlu terus berpura-pura dalam hal ini. Beliau perlu membuat keputusan segera demi masa depan politiknya sendiri.

Lagi pun selepas kalah dalam pemilihan jawatan presiden UMNO pada 30 Jun lalu dan Timbalan Presiden UMNO kini dipegang oleh Mohamad Hassan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan KJ adalah timbalannya, masa depan beliau boleh dianggap sudah berakhir dalam parti itu.

Adalah sukar untuk KJ bertanding apa-apa jawatan selepas ini, apatah lagi bagi jawatan presiden UMNO sekali lagi dalam pemilihan tiga tahun akan datang memandangkan Mohamad Hassan sudah pun berada di kedudukan nombor dua dalam parti sekarang ini.

Malah, kiranya KJ sedia turun pangkat untuk bertanding jawatan naib presiden juga terlihat sukar laluannya  memandangkan keberadaan Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden UMNO bagaikan telah mengunci masa depannya kerana mereka datang dari bahagian Rembau yang sama.

Maka itu, pilihan yang terbaik bagi KJ ialah tinggalkan saja UMNO. Lagi pula, kalau pun tidak diharamkan kerana telah melanggar perlembagaan sendiri, masa depan UMNO juga teramat kelam selepas ini. Parti itu sudah tiada lagi masa depan.

Walaupun banyak parti yang boleh dijadikan pilihan, tetapi Bersatu adalah pilihan yang terbaik untuk KJ membina semula masa depannya. 

Beliau perlu mengajak seramai mungkin kawan-kawannya dalam UMNO untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan parti itu menjadi pengganti kepada UMNO.

Bersama beberapa pemimpin muda yang ada dalam Bersatu, disertai dengan adanya Tun Mahathir yang diyakini mampu membina parti itu menjadi parti yang berwibawa dan diterima ramai, masa depan KJ juga ada lebih cerah jika beliau berani dan tidak bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. (ShahbudinHusin 16/07/2018)

UEC: KEPENTINGAN BAHASA MELAYU KEUTAMAAN – DR MASZLEE

MT UMNO: APANDI SEKEJAP TERIMA, SEKEJAP TOLAK

PUSINGAN U APANDI MEMALUKAN – KJ

PEMIMPIN GUNA POLITIK KAUM, AGAMA ‘BODOH’ – ARSHAD RAJI

UEC TIDAK TERMASUK JANJI 100 HARI PH

MAHU ROYALTI? BENTANG PELAN PENGGUNAAN – HUSAM

RAKYAT DAN RAJA - SIAPA YANG LEBIH BERKUASA?



1.  Tiada rakyat maka tiada Raja, inilah keadaan yang sebenarnya.

2.  Jika kita kembali kepada sejarah, ia jelas menampakkan bahawa rakyatlah di suatu masa dahulu yang memilih siapa di kalangan mereka untuk diangkat sebagai Ketua yang kemudiannya ditukar gelaran sebagai Raja atau Sultan.

3.  Apabila tiada persefahaman,  maka jalan terbaik ialah menjemput mereka sama ada dari Sumatra ( Minangkabau) mahu pun dari Kepulauan Sulawesi atau lebih tepat orang Bugis sebagai Ketua atau Raja mereka.

4.  Raja atau Sultan Negeri Sembilan berasal dari Pagar Ruyong, Sumatra sementara Sultan Selangor dan Johor pula berasal dari keturunan Bugis,  di Sulawesi, Indonesia.

5.  Ibu Sultan Perak berasal dari keturunan rakyat biasa Pulau Pinang sementara ibu Sultan Ibrahim Johor pula adalah seorang rakyat biasa keturunan  Inggeris dari England, beliau baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini. Raja Muda Selangor pula adalah kacukan Bugis dan rakyat biasa dari Amerika Syarikat.

6.  Keturunan apa pun mereka ini, yang sahih mereka telah diberi peluang diangkat sebagai Raja atau Sultan oleh rakyat.

7. Hanya ADAT sahaja yang mengizinkan keturunan mereka dari asal ke cucu cicit untuk terus mewarisi tempat tersebut tanpa disoal oleh rakyat kini.

8. Istilah Raja berasal dari perkataan Sanskrit, India yang bermaksud Rajan atau Ketua Puak.

9. Sultan pula merupakan istilah Bahasa Arab yang berasal daripada perkataan   'Salatha' yang bererti yang berkuasa.

10. Sejak Merdeka keadaan mula berubah. Raja atau Sultan TIDAK lagi bertindak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. ‘Sekali air bah, sekali pantai berubah’.

11. Mengikut hikayat lama, Laksamana Bentan, Megat Sri Rama telah melafazkan kata - kata yang sehingga kini masih bermain di kepala sebahagian rakyat iaitu 'Raja Adil Raja DiSembah , Raja Zalim Raja DiSanggah'.

12. Kezaliman Sultan membunuh Dang Anum, isteri Laksamana Bentan itu berakhir dengan apa yang dikenang sehingga sekarang sebagai -  ‘Sultan Mahmud Mangkat Di Julang'.

13. Peristiwa tersebut mengingatkan kita khasnya Sultan bahawa mereka tidak boleh bertindak sesuka hati.

14. Menjelang PRU 14 yang berlangsung pada 9hb Mei yang baru lepas, beberapa orang Sultan telah bertindak diluar batasan.

15. Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menarik Darjah DK daripada Tun Mahathir. Darjah ini dianugerahkan kepada Tun oleh ayahanda beliau, Sultan Ismail Petra.

16. Sebelum arahan diberi atau dikeluarkan, Tun Mahathir sendiri telah memulangkan pingat yang sama taraf  kepada Sultan Selangor.

17. Di Johor pula Sultan Ibrahim dan anaknya Tunku Ismail   bersungguh - sungguh berkempen bagi mengalahkan Tun Mahathir dan parti beliau dengan alasan- alasan yang tak masuk akal.

18. Sultan harus menerima hakikat bahawa usaha mereka telah ditolak oleh majoriti rakyat, justeru ia dengan sendiri membawa makna bahawa rakyat lebih cerdik dari mereka.

19. Rakyat berasa lega apabila Pakatan Harapan yang diberi amanah memerintah telah melaksanakan beberapa perubahan atau reform apabila beberapa agensi seperti SPRM , SPR dan lain-lain yang selama ini berada dibawah kawalan Pejabat Perdana Menteri ( PMO ) diletakkan terus dibawah kawalan Parlimen.

20. Banyak lagi Akta yang akan dimansuhkan dalam masa terdekat ini.

21. Bagi menguatkan lagi Institusi Raja Berperlembagaan dan dalam masa yang sama bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham antara Raja dan Rakyat, maka perkara berikut adalah dicadangkan:-

1.  Setiap tahun semasa Pembentangan Belanjawan sama ada di peringkat Parlimen ( Agong ) dan Negeri ( Sultan ), segala kos perkhidmatan, perbelanjaan dan penyelenggaraan mereka dan keluarga  MESTI dibentang bagi mendapat kelulusan. Ini kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh rakyat, maka rakyat berhak diberitahu ke mana wang mereka dibelanjakan.

2.  Parlimen MESTI meluluskan garis panduan yang jelas berkenaan perkara - perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka, sebagai contoh jumlah kereta yang dikecualikan dari sebarang cukai,  tidak boleh berniaga dan menggunakan pengaruh untuk sebarang projek, tidak boleh  'menjual' sebarang Darjah Kebesaran,  tidak boleh mencampuri hal ehwal politik sama ada secara tersurat dan tersirat. Begitu juga tidak boleh terlibat dalam urusan pentadbiran seperti hal ehwal tanah dan pembangunan seperti yang dilakukan di Johor. Kuasa ini MESTI dibatalkan serta merta.

22. Cadangan diatas adalah amalan biasa yang dilaksanakan di England dan di beberapa negara yang mempunyai Raja di Eropah.

23. Semoga  'Reformasi' ini berani dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

24. Tindakan ini tidak sekali - kali menjejaskan kedudukan Sultan, malah ia akan memastikan mereka terus hidup di istana yang disumbangkan oleh rakyat jelata tanpa perlu menitiskan walau setitik peluh pun.

25. Sila kongsi bersama pandangan saya ini.

Terima Kasih.

TAMRIN TUN GHAFAR
Sabtu 14/07/18.

Apa itu UEC?




Ada orang marah dengan usaha mengiktiraf UEC walaupun tidak tahu apa-apa tentang UEC. Ada antara mereka yang tidak tahu pun nama penuh singkatan UEC itu. Malah, ada yang menyangka huruf C dalam UEC adalah untuk bahasa Cina atau orang Cina.

Sebenarnya anggapan itu salah. Izinkan saya menjelaskan hal yang sebenarnya. UEC adalah singkatan nama kepada Unified Examination Certificate. Saya sendiri merupakan seorang bekas pelajar yang mengambil peperiksaan UEC.

Pelajar-pelajar cemerlang yang memiliki UEC peringkat tinggi diterima masuk untuk program ijazah Sarjana Muda di banyak universiti terkemuka antarabangsa.  Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University.

Bagaimanapun, di Malaysia, UEC belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Menyedari pentingnya pengiktrifan UEC, pada pilihanraya umum ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk mengiktiraf UEC jika diberi mandat menjadi kerajaan.

Janji itu yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk menjadikan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Dengan ini, UEC akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

Namun, walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan, sejak tahun 2004, UEC diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Mulai tahun 2010, UEC juga telah diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan.

Di Malaysia, ia merupakan sijil yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina. UEC adalah ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Sekolah menengah Cina menerima pelajar daripada pelbagai kaum dan agama termasuk pelajar Melayu.

Dong Zhong menitikberatkan penguasaan Bahasa Melayu dan menerima syarat wajib memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Setiap tahun, Sekolah Menengah Persendirian Cina bekerjasama dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka untuk menganjurkan Pertandingan Forum Pelajar dengan tujuan memperkasakan pembelajaran Baahasa Melayu.

Bagi UEC, bukan semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Cina. Bahasa Cina dan juga  Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.

Buku teks Sekolah Menengah Persendirian Cina disediakan untuk mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan. Contohnya, buku teks sejarah mengandungi 57% Sejarah Malaysia dan 43% Sejarah Dunia.

Kurikulum pula dirancang dengan tujuan memupuk semangat nasionalisme Malaysia, memperkasakan keharmonian dan persefahaman kaum di Malaysia.

Hari ini ramai ibu bapa kalangan Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Menurut statistik dari Kementerian Pendidikan pada 2016, terdapat  67,128 atau 12.6% pelajar Melayu yang didaftarkan di Sekolah Rendah Cina.

Walaupun statistik ini merujuk kepada sekolah rendah, kita boleh menjangkakan lebih ramai pelajar bukan-Cina yang berminat ke Sekolah Menengah Persendirian Cina bagi melanjutkan pengajian asas mereka.

Isu UEC merupakan isu pendidikan. Ia bukan isu politik, ia bukan isu kaum. Semoga kita dapat menerima realiti bahawa kepelbagaian dan perbezaan budaya, bahasa dan agama tidak harus menjadi masalah, sebaliknya dapat kita raikan bersama dalam semangat muhibah.


*Joyce Tan merupakan seorang pemegang sijil UEC