
Tetapi bagi keluarga mangsa Memali, kehilangan orang tersayang bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sekadar berjabat tangan. Mereka yang terkorban tidak akan hidup semula hanya kerana dua parti sudah berdamai.
KATA ANDA, 18 Nov – Ini kisah ‘fatwa’ yang mematikan. Perbuatan yang masih berterusan hingga ke hari ini. Melihat perbezaan politik sebagai permainan akidah.
19 November 1985. Tarikh yang sampai hari ini masih meninggalkan luka kepada keluarga mangsa tragedi Memali di Baling, Kedah. Seramai 18 orang terkorban. Empat anggota polis dan 14 orang awam, termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Esok genap 41 tahun peristiwa berdarah itu. Tetapi yang menariknya, selepas lebih empat dekad, persoalan mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut masih belum terjawab sepenuhnya. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat bagaimana hubungan PAS dan UMNO berubah sepanjang tempoh itu.
Cuba ingat balik suasana politik tahun 1980-an. PAS dan UMNO bukan sekadar bergaduh tentang pilihan raya, kerusi Parlimen atau siapa patut menjadi kerajaan. Pertentangan politik ketika itu sudah sampai kepada soal akidah, kafir, jihad dan syahid. Bukan main-main.
Masih ingat Amanat Haji Hadi? Dalam ucapan yang terkenal pada tahun 1981 itu, Haji Hadi menyebut bahawa perjuangan menentang UMNO dan BN adalah jihad. Malah, mereka yang mati kerana berlawan dengan pihak yang dimaksudkan dalam amanat tersebut disebut sebagai mati syahid. Bayangkan bagaimana kata-kata sebegitu boleh mempengaruhi penyokong yang meletakkan kepercayaan tinggi kepada seorang pemimpin agama.
Waktu itu, ucapan itu menjadi fenomena hingga ke kampung-kampung, ditampal di dinding rumah.

Di Memali pula, muncul Ibrahim Libya. Seorang guru agama yang cukup dihormati oleh pengikutnya. Menurut Kertas Putih kerajaan yang diterbitkan selepas tragedi tersebut, beliau pernah menyampaikan ceramah pada 12 Jun 1984 yang mengandungi seruan supaya menentang mereka yang dianggap murtad, walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri.
Malah, Kertas Putih itu turut merekodkan kenyataan yang dikaitkan dengan beliau supaya pengikut tidak bergaul dengan ahli UMNO yang dianggap kafir, termasuk tidak menghadiri kenduri mereka. Bayangkan orang kampung yang dahulunya boleh makan semeja, bersembang di kedai kopi dan menghadiri kenduri bersama, akhirnya berpecah kerana perbezaan parti.
Kemuncaknya pada 19 November 1985. Operasi polis untuk menangkap Ibrahim Libya berakhir dengan pertumpahan darah. Seramai 18 orang terkorban. Selepas itu timbul pula pertikaian mengenai status kematian mereka. Dalam kalangan PAS, 14 orang awam yang terkorban dikenang sebagai syuhada, sedangkan pihak berkuasa agama ketika itu mempunyai pendirian berbeza.

Tun Mahathir pula pernah menyebut bahawa itu ‘Mati Katak’.
Ada satu kisah daripada hadis Rasulullah SAW yang cukup menarik untuk direnungkan apabila kita bercakap tentang tanggungjawab orang yang memberikan pandangan agama.
Dalam riwayat Jabir bin Abdullah RA yang terdapat dalam Sunan Abu Dawud, diceritakan seorang sahabat mengalami kecederaan di kepala ketika bermusafir. Kemudian beliau berada dalam keadaan yang memerlukan mandi wajib. Disebabkan kecederaan tersebut, beliau bertanya kepada sahabat lain sama ada dibolehkan bertayamum.
Malangnya, mereka memberikan pandangan bahawa beliau tidak mempunyai kelonggaran untuk bertayamum selagi masih boleh menggunakan air. Sahabat yang cedera itu pun mandi. Akibatnya, beliau meninggal dunia.
Apabila perkara tersebut disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda menegur keras mereka yang memberikan pandangan itu. Antara maksud sabda Baginda, “Mereka telah membunuhnya! Mengapa mereka tidak bertanya apabila mereka tidak mengetahui? Sesungguhnya penawar kejahilan ialah bertanya.”
Perhatikan betul-betul. Mereka yang memberikan pandangan itu tidak menikam, tidak memukul dan tidak menyerang mangsa. Tetapi pandangan agama yang diberikan tanpa pengetahuan mencukupi telah membawa kepada tindakan yang mengakibatkan kematian.
Sebab itulah hadis ini menjadi peringatan tentang betapa beratnya tanggungjawab seseorang apabila bercakap atas nama agama. Lebih-lebih lagi apabila kata-katanya dipercayai dan diikuti oleh orang ramai.
Kerapkali berlaku agamawan yang berpolitik menjadi ghuluw dan memberi ‘fatwa’ yang boleh membunuh pengikutnya walhal berbalah sesama muslim.
Sejak zaman sahabat, hinggalah kini. Sama sahaja.
Sekarang kita kembali kepada Memali.
Apabila istilah jihad, kafir, murtad dan syahid digunakan dalam pertentangan politik, sejauh manakah seseorang pemimpin agama perlu bertanggungjawab terhadap cara pengikut memahami dan bertindak berdasarkan ucapan mereka?
Adakah semua penyokong benar-benar memahami maksud sesuatu amanat? Atau ada yang menganggap setiap pertentangan dengan UMNO ketika itu merupakan kewajipan agama yang mesti dilaksanakan?
Dan apabila pertumpahan darah akhirnya berlaku, bolehkah persoalan mengenai kesan ucapan agama itu diketepikan begitu sahaja?
Tentulah hadis mengenai sahabat yang cedera tadi tidak boleh digunakan secara automatik untuk menghukum Haji Hadi, Ibrahim Libya atau sesiapa sahaja sebagai penyebab kematian di Memali. Itu memerlukan bukti dan penelitian menyeluruh, termasuk tindakan pihak berkuasa serta keputusan politik ketika itu.
Namun, pengajaran hadis tersebut tetap relevan. Kata-kata yang disampaikan atas nama agama mempunyai tanggungjawab yang besar, terutama apabila melibatkan soal hidup dan mati.
Yang lebih menarik, selepas berpuluh tahun bermusuhan, PAS dan UMNO akhirnya boleh pula bekerjasama melalui Muafakat Nasional. Dahulu UMNO ditentang dengan bahasa jihad. Kemudian pemimpin kedua-dua parti boleh berjabat tangan, berkongsi pentas dan melaungkan perpaduan ummah.
Jadi, apa sebenarnya yang berubah? Kalau dahulu menentang UMNO dikaitkan dengan jihad, bagaimana pula apabila UMNO menjadi rakan politik? Adakah tafsiran perjuangan berubah mengikut keadaan, atau ada perbezaan antara prinsip agama dengan strategi politik yang sepatutnya dijelaskan kepada penyokong?
Bagi ahli politik, permusuhan boleh berakhir dengan rundingan. Hari ini lawan, esok kawan. Hari ini berbalas tuduhan, esok boleh duduk semeja sambil tersenyum. Begitulah politik.
Tetapi bagi keluarga mangsa Memali, kehilangan orang tersayang bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sekadar berjabat tangan. Mereka yang terkorban tidak akan hidup semula hanya kerana dua parti sudah berdamai.
Sebab itulah Amanat Haji Hadi, ucapan yang dikaitkan dengan Ibrahim Libya dan tindakan pihak berkuasa pada hari tragedi tersebut perlu terus diteliti secara terbuka. Kita tidak boleh terus menghukum bahawa satu ucapan sahaja menyebabkan semua kematian itu. Tanggungjawab terhadap tragedi tersebut perlu dinilai berdasarkan keseluruhan bukti.

Namun, ada satu pengajaran yang tidak sepatutnya dilupakan. Apabila pertentangan parti dibawa sehingga ke tahap kafir-mengkafir, orang biasa yang akhirnya menanggung akibat. Pemimpin boleh bertukar kawan dan lawan, tetapi nyawa yang sudah melayang tidak mungkin kembali.
Genap 41 tahun Memali. Pemimpin PAS dan UMNO pernah berdamai, tetapi persoalan mengenai mereka yang terkorban masih kekal.
Dan hadis Rasulullah SAW tadi meninggalkan satu peringatan yang cukup berat. Mereka yang memberikan pandangan agama juga perlu memikirkan akibat daripada pandangan yang diberikan.
Kerana dalam politik, tersalah memilih kawan mungkin boleh diperbetulkan. Tetapi apabila orang sudah mati kerana mempercayai sesuatu perjuangan, siapa yang mampu mengembalikan nyawa mereka?
Jangan sampai agama dijadikan alasan untuk permusuhan politik yang akhirnya meragut nyawa sesama Islam.
Oleh Ahmad Mursi






No comments:
Post a Comment