LAGI KEMELUT N9

 


UMNO kini berdepan dakwaan serius apabila tindakannya dalam isu peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dikatakan mengganggu usaha perdamaian dengan Istana. 







Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, mendakwa langkah UMNO itu seolah-olah sengaja menjejaskan proses memulihkan hubungan dengan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Menurut Megat, tindakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebelum pengesahan terbuka daripada Menteri Besar sendiri menimbulkan pelbagai persoalan. 


Malah, penghantaran surat peletakan jawatan melalui wakil firma guaman ke Istana turut dipersoalkan kerana didakwa tidak mengikut saluran protokol sewajarnya.


Lebih mengejutkan, Megat mendakwa keadaan tersebut memberi gambaran seolah-olah wujud usaha meletakkan pihak Istana dalam keadaan terdesak. 


Beliau turut mengkritik Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang mengadakan sidang media menghargai khidmat Ismail sedangkan perkenan rasmi Tuanku Muhriz terhadap peletakan jawatan itu belum diperoleh.


Megat menyifatkan tindakan mendahului perkenan Istana sebagai tidak menghormati kuasa budi bicara institusi diraja. 


Beliau turut mendakwa kepimpinan UMNO Negeri Sembilan seolah-olah lebih cenderung meneruskan ketegangan berbanding mencari penyelesaian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan parti itu menghormati proses perlembagaan negeri.





No comments: