Ada orang marah dengan usaha mengiktiraf UEC walaupun tidak tahu apa-apa tentang UEC. Ada antara mereka yang tidak tahu pun nama penuh singkatan UEC itu. Malah, ada yang menyangka huruf C dalam UEC adalah untuk bahasa Cina atau orang Cina.
Sebenarnya anggapan itu salah. Izinkan saya menjelaskan hal yang sebenarnya. UEC adalah singkatan nama kepada Unified Examination Certificate. Saya sendiri merupakan seorang bekas pelajar yang mengambil peperiksaan UEC.
Pelajar-pelajar cemerlang yang memiliki UEC peringkat tinggi diterima masuk untuk program ijazah Sarjana Muda di banyak universiti terkemuka antarabangsa. Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University.
Bagaimanapun, di Malaysia, UEC belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Menyedari pentingnya pengiktrifan UEC, pada pilihanraya umum ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk mengiktiraf UEC jika diberi mandat menjadi kerajaan.
Janji itu yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk menjadikan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Dengan ini, UEC akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.
Namun, walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan, sejak tahun 2004, UEC diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Mulai tahun 2010, UEC juga telah diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan.
Di Malaysia, ia merupakan sijil yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina. UEC adalah ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Sekolah menengah Cina menerima pelajar daripada pelbagai kaum dan agama termasuk pelajar Melayu.
Dong Zhong menitikberatkan penguasaan Bahasa Melayu dan menerima syarat wajib memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.
Setiap tahun, Sekolah Menengah Persendirian Cina bekerjasama dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka untuk menganjurkan Pertandingan Forum Pelajar dengan tujuan memperkasakan pembelajaran Baahasa Melayu.
Bagi UEC, bukan semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Cina. Bahasa Cina dan juga Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.
Buku teks Sekolah Menengah Persendirian Cina disediakan untuk mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan. Contohnya, buku teks sejarah mengandungi 57% Sejarah Malaysia dan 43% Sejarah Dunia.
Kurikulum pula dirancang dengan tujuan memupuk semangat nasionalisme Malaysia, memperkasakan keharmonian dan persefahaman kaum di Malaysia.
Hari ini ramai ibu bapa kalangan Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Menurut statistik dari Kementerian Pendidikan pada 2016, terdapat 67,128 atau 12.6% pelajar Melayu yang didaftarkan di Sekolah Rendah Cina.
Walaupun statistik ini merujuk kepada sekolah rendah, kita boleh menjangkakan lebih ramai pelajar bukan-Cina yang berminat ke Sekolah Menengah Persendirian Cina bagi melanjutkan pengajian asas mereka.
Isu UEC merupakan isu pendidikan. Ia bukan isu politik, ia bukan isu kaum. Semoga kita dapat menerima realiti bahawa kepelbagaian dan perbezaan budaya, bahasa dan agama tidak harus menjadi masalah, sebaliknya dapat kita raikan bersama dalam semangat muhibah.
*Joyce Tan merupakan seorang pemegang sijil UEC